Bob Lokman Sakit, Nak Buat Fitnah Juga?


Bob Lokman sakit. Khabarnya agak teruk. Dia dah meminta maaf kepada semua orang sebab dia merasakan hayatnya mungkin tidak lama. Alhamdulillah, Allah bagi isyarat yang Bob faham, melalui sakit itu, satu teguran kepadanya. Samada sakit ini membawa kepada mati atau penghapus dosa 

Namun, bukanlah bermakna, Bob mesti menyerah kepada takdir begitu sahaja. Dia berusaha dahulu untuk berubat, kemudian baru bertawakkal. Dia, insyaAllah dapat dua pahala. Pahala berusaha dan pahala bertawakkal. Dia redha dengan ujian Allah. Semoga Allah juga redha dengan dia. Amiin. 

Dalam usahanya untuk memenuhi tuntutan bayaran sebanyak RM60 ribu, dia terpaksa memohon jasa baik orang ramai jika sudi, untuk membantunya. Alhamdulillah dengan pantas Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat, NGO Muslim Care, NGO rakan PAS, membuka tabung. Ahli dan penyokong PAS, serta orang yang dermawan, juga peminatnya, dengan segera bersama-sama menyumbang. 

Dalam masa kurang 48 jam, tabung Bob, sudah penuh, lebih RM60 ribu. Laju sungguh. Walaupun tabung telah ditutup, masih lagi datang derma-derma kepada beliau. Dia orang baik, dia disayangi ramai. Alhamdulillah Bob sekarang, dalam proses untuk mendapat rawatan yang sewajarnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star. 

Tidak semena-mena, dengan pantasnya pula tersebar, bukan berita tabung Bob sudah penuh dikutip PAS, tetapi PAS dituduh tidak membantu beliau. Saya menghubungi dengan Ustaz Riduan Mohd Nor, AJK PAS Pusat. Dia adalah senior saya di sekolah dahulu dan paling rapat dengan Bob. Hubungan Ustaz Riduan dengan Bob, seperti adik beradik. Dia tenang-tenang sahaja menghadapi fitnah. Apakan daya, fitnah bukannya boleh disekat-sekat, apa lagi  jika ia ditebarkan oleh mereka yang sememangnya kerjanya, membuat fitnah. 

Katanya Bob, adalah timbalannya dalam Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat, sehingga sekarang. Bob juga menghantar anak-anaknya ke Tahfiz An-Nur kelolaan Ustaz Riduan di Sungai Tong, Setiu. Dua perbelanjaan sekolah anaknya ditanggung oleh seorang pimpinan PAS Pusat yang beliau tidak namakan. Bob juga selalu menerima undangan program oleh PAS. 

Jadi bagaimana mungkin dia diketepikan oleh PAS? Derma RM60 ribu dikutip dalam masa dua hari oleh PAS dan NGO rakan PAS, pelajaran anak-anak ditanggung, terus menerus diundang dalam program-program PAS dan dibayar. Kadang kala nasi maqlubah beliau juga ditempah untuk jamuan-jamuan parti. Diiklankan lagi perniagaan Bob kepada umum. 

Begitulah ukhwah dalam PAS. Sama-sama merasa sakit, susah senang, kita cuba hadapi bersama. Tak banyak, sikit, kita usahakan. Janganlah kerana tersebar beberapa keping gambar, maka cerita ditulis sesedap rasa. Kebal benar kamu dengan api neraka, mungkin? Rasanya syaitan pun tahu takut dengan neraka, cuma dia sombong tidak mahu menerima kebenaran perintah Allah. Kawan tu sakit, kau gagah dan sihat. Tapi sayang, gagah kau wahai sang pengfitnah, guna untuk memfitnah. 

Ikut pepatah orang tua-tua sebut, lembu punya susu, sapi dapat nama. Kadang-kadang sapi tak salah, tapi yang bagi jenama kepada sapi itu yang salah. Sapi tak mintak apa-apa pun. Lembu pula bukan menuntut. Tapi sapi juga harus bertanggungjawab memberitahu semua bahawa susu itu kepunyaan lembu, bila dah nampak kecoh, supaya tidaklah sapi dilihat sebagai cuba mengambil peluang mendapat nama. Kalau sapi masih diam, takut sapi nanti akan dikata orang, 'Huh sapi ni, macam lembu kenyang jer. Isu dah panas, diam jer dia'. Haa, kan ke payah tu? 

Mohd Nasir Abdullah

1 Disember 2020

Ulasan