Dapur Rakyat Terus Berasap, Kongsi Nikmat


 Oleh : Syuhada Shari

KEMAMAN - Program Dapur Rakyat Siri keempat diteruskan lagi,  'berkongsi rezeki Allah' bersama mangsa banjir dengan penglibatan daripada wanita muda PAS sebagai sukarelawan. 

Ketua Ameerah Kawasan Kemaman, Nor Arbaeiyah Wahab berkata, program kebajikan itu telah dibahagikan kepada dua iaitu Dapur Rakyat dan Servis Minyak Hitam Motosikal Percuma.

"Seramai lebih kurang 25 orang sukarelawan Ameerah kawasan Kemaman turun hari ini bergotong-royong untuk Dapur Rakyat,

"Sepanjang seminggu program pasca banjir, Ameerah telah membantu ADUN Air Putih, YB Haji Ab.Razak Ibrahim bergotong-royong bersihkan rumah, 'packing' barang dan makanan serta agihkan sumbangan buat mangsa banjir." jelasnya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tersebut di Kampung Air Putih, semalam Sabtu, 5 Disember. 

Menurut beliau, kerja-kerja terbabit tidak akan dapat dilakukan secara berseorangan, tetapi dijayakan secara bekerjasama, berpadu tenaga semua sukarelawan agensi PAS dan Khidmat Malaysia. 

Justeru, beliau bersykur dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan program tersebut. 

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih buat semua penyumbang mangsa-mangsa banjir. Kami adalah pemudah cara untuk Tuan Puan menyumbang, juga buat semua sukarelawan Ameerah dan wanita yang turut hadir,

"Alhamdulillah, sepanjang bertugas selama tujuh hari, Ameerah bertukar-tukar giliran turun padang. Yang bekerja mengambil kesempatan untuk turun bersama-sama pada hujung minggu," tambah beliau.

Ulasan