Mengapakah Sukar Bagi Penduduk Pribumi Sarawak, Bumiputera Memperoleh Hak Milik Tanah?


Ramai penduduk pribumi, Bumiputera yang telah lama tinggal di kawasan yang diterokai oleh nenek moyang mereka selama berabad-abad hingga sekarang sukar mendapatkan hak milik atas tanah mereka. Selama bertahun-tahun mereka mengajukan permohonan pemilikan tanah mereka di Jabatan Tanah dan Ukur, selalu jawapan yang diterima sangat mengecewakan.

Antara jawapan yang selalu diterima adalah "permohonan anda sedang dalam proses",

“Kerajaan ketika ini juga menggalakan pembangunan pertanian secara komersial dan ingin tanah kerajaan dibangunkan secara usahasama dengan agensi-agensi yang berkaitan” dan “permohonan anda tidak diluluskan”.

Terdapat penduduk pribumi / bumiputera yang memiliki tanah leluhur daripada nenek moyang mereka yang tidak mempunyai geran tanah boleh hilang sekelip mata kerana dimiliki oleh syarikat tertentu.

Persoalannya sekarang, mengapa sukar bagi penduduk pribumi / Bumiputera memperoleh hak milik tanah mereka sendiri selain daripada syarikat tertentu? Adakah kerana penduduk pribumi  / Bumiputera tidak dapat membayar ganjaran tertentu atau kerana mereka tidak tahu bagaimana menuntut tanah tersebut maka tanah tersebut bertukar tangan kepada mereka yang mempunyai kepentingan.

Ramai penduduk pribumi di daerah Baram terutama kawasan Pujut kehilangan tanah warisan mereka dan tanah mereka dipindahkan ke syarikat tertentu yang mempunyai ribuan hektar tanah. Mereka mengadu bahawa ada surat penyerahan dari nenek moyang kepada waris mereka yang lengkap dengan jumlah lot dan luas tanah yang diukur pada masa lalu telah hilang dalam sistem data tanah di jabatan tanah dan ukur dan terdapat juga telah ditukar kepada nama syarikat tertentu. Terdapat juga pihak yang mendakwa bahawa tanah peribumi Sarawak dengan mudah diluluskan kepada syarikat asing.

Kami mengesa jika ini berlaku pihak berkuasa yang berkenaan perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa.

Adalah malang sekiranya tanah pusaka yang seharusnya diwarisi oleh penduduk pribumi / Bumiputera jatuh ke tangan syarikat asing dan syarikat tertentu yang mempunyai kepentingan untuk menguasai tanah penduduk pribumi Sarawak. Malangnya, banyak dari mereka yang pernah menuntut tanah ini telah meninggal dunia dan waris mereka tinggal di kawasan setinggan kerana tanah mereka telah jatuh ke tangan orang lain atau telah ditukar menjadi nama syarikat tertentu.

Kami menyarankan pemerintah untuk membantu penduduk pribumi / Bumiputera yang menghadapi kesukaran dalam menuntut hak milik tanah mereka untuk diberi peluang mengembangkan tanah warisan ini dengan pembangunan pertanian secara komersial.

Masalah tindakan pemilikan tanah seperti yang termaktub di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri seharusnya telah diselesaikan lama dahulu. Jangan biarkan hak pemilikan tanah penduduk pribumi / Bumiputera hilang dan jatuh ke tangan syarikat tertentu dan syarikat asing. Beri peluang kepada penduduk pribumi / Bumiputera untuk mengembangkan tanah warisan mereka sendiri secara komersial.

Kerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak berkaitan untuk menyiasat dan bertindak tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera sangat dihargai.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak

Ulasan