Pembahagian Kerusi PRU15 : Keberkatan Menjadi Keutamaan


Oleh :Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU - Parti Islam SeMalaysia(PAS) tidak gusar  dengan pembahagian kerusi  Pilihan Raya Umum ke 15(PRU15) nanti kerana yang menjadi keutamaan ialah keberkatan. 

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr. Rosni Adam berkata walaupun PAS hanya diberi beberapa kerusi sahaja ianya tidak menjadi halangan untuk PAS bersama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

"Kalau dulu dengan Muafakat Nasional, umpamakan kek kita bahagi dua je, dengan Umno tetapi sekarang kena bahagi tiga atau empat iaitu Perikatan Nasional, maknanya kerusi kita bertanding lebih kecil, tetapi kita kena ingat berkat. Berkat penyatuan umat, berkat umat Islam bersatu padu, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Jelajah Siti Khadijah (JELAS 2020) secara dalam talian pada 12 Disember lalu.

Sementara itu Ketua Muslimat PAS Terengganu, To' Puan Hajah Zarani Othman berkata muslimat mestilah mengubah budaya pemikiran yang tidak lagi berorientasikan minda pembangkang. 

"Kita sekarang sudah memerintah, ahli PAS, penyokong PAS mestilah membantu kerajaan yang ada sekarang, menerangkan agenda kerajaan kepada masyarakat agar pemerintahan PAS di Terengganu dapat dipertahankan," jelasnya lagi.

Ulasan