11 Januari 2021

Banjir Awal Tahun; Duka Bertindan


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Fajar awal 2021 kita semua dikejutkan dengan banjir yang melanda Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu. Biasanya dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pengkalan kepada PAS semenjak dekad 50an sinonim dengan banjir . Hujan yang mencurah -curah semenjak hujung Disember 2020 akhirnya menakung air sehingga beberapa daerah terkesan teruk dengan banjir awal tahun ini. 

Maran, Temerloh, Kota Tinggi, Mentakab, Jerantut, Kemaman, Dungun Rantau Panjang, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh antara daerah yang ditenggelami air , bahkan daerah -daerah di negeri Pahang mengulangi Jubli Emas banjir besar 1971. Lebih 50 ribu mangsa terpaksa dipindahkan ke Pusat pemindahan sementara manakala kemusnahan skala besar berlaku akibat banjir besar yang melanda.

Semenjak hari pertama banjir, PAS melalui Khidmat Malaysia dan rangkaian sivilnya telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu pengemasan rumah mangsa-mangsa banjir. Anggota Jabatan Amal dengan identiti baju merah merun dengan jumlah ribuan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat, disertai oleh ahli-ahli PAS. NGO barisan hadapan misi bantuan seperti Muslim Care Malaysia mengadakan puluhan misi bantuan banjir ditempat yang terjejas, kolaborasi antara NGO juga memeriahkan dunia kesukarelawan Malaysia.

Malaysia sekali lagi wajib bermuhasabah, banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi, krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat. 

Benar, kenaikan air adalah secara mendadak namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara. Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan  sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir.

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah. PAS sendiri sebagai gerakan Islam telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat "tentera merah" atau anggota Unit Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas. Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini. Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga disetiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat.

Dalam kesungguhan pesta membantu bencana banjir musim kovid 19 ini juga, pelbagai NGO berada dibarisan hadapan membantu rakyat kelantan dan Terengganu. Antaranya Muslim Care Malaysia yang menggerakkan relawan serta aset mereka. Juga mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir walau tanpa suluhan lensa publisiti. Juga pelbagai NGO seperti Khidmat Malaysia , Pertubuhan Nisa', Pertubuhan Asatizah GU dan lain-lain lagi.

Benarlah,banjir kali ini menjadi parameter sesebuah organisasi, samada mereka cemerqlang dilapangan atau hanya gah pada carta organisasi. Kovid menyengat lebih 130 ribu rakyat negara ini, ekonomi yang suram , polemik dan intriq politik yang tak berkesudahan. Saat ini rakyat dambakan pertolongan dan kecaknaan pemimpin untuk menyantuni mereka. Bukannya ghairah beradu kuasa dan membidak catur permainan kuasa, sibuk untuk berpilihanraya sedangkan rakyat makin muak dan dihimpit resah akibat pandemik.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Tiada ulasan:

Biden Tandatangani Tindakan Eksekutif ‘Menterbalikkan’ Dasar Trump Pada Hari Pertama

  Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai presiden A.S. ke-46 pada hari Rabu, Joe Biden menandatangani serangkaian tindakan eksekutif...