Banjir Besar Tahun 2014 Dikhuatiri Berulang


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN - Peristiwa banjir besar tahun 2014 sangat dibimbangi oleh penduduk Hulu Dungun yang kini berhadapan saat gentir apabila terpaksa Kembali berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata semua penduduk di Hulu Dungun pada ketika ini menagih doa dari semua pihak supaya dijauhkan dari musibah yang lebih teruk.

“Apa yang dilalui melalui musibah banjir ini merupakan suatu ujian yang sangat berat, bukan mudah untuk dilalui. Mereka kini berada didalam keadaan penat, mana tidaknya baru sahaja dibenarkan pulang semalam tidak berapa lama kemudian pada awal pagi tadi terpaksa kembali ke sini.

“Justeru kita akan mengadakan solat hajat agar mendapat perlindungan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pihak media, ketika melakukan tinjauan ke dua PPS berkenaan, pada pagi Rabu, 6 Januari.


Katanya jumlah keluarga yang ditempatkan di dua PPS berkenaan iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja seramai 25 keluarga melibatkan 68 mangsa.

“Manakala di Dewan Serbaguna Kampung Shukor pula melibatkan 24 keluarga dengan 88 orang jumlah mangsa.

“Hujan ketika ini masih lagi lebat, dan tambah merisaukan saya sendiri ketika berada di sini melihat paras air semakin menaik berbading ketika saya mula-mula sampai di PPS, dalam masa sejam sahaja hadapan PPS ini juga sudah mula dinaiki air.

“Jika keadaan berterusan tindakan berpindah ke tempat lain mungkin akan berlaku, walau bagaimanapun sama-sama kita mendoakan agar musibah ini tidak berlarutan,” ujarnya.

Ulasan