Kumpul RM20K Misi Bantuan Banjir


Oleh : Adawiyah Samewoi

MARANG -  Sebanyak RM20,000 berjaya dikumpulkan oleh jemaah Surau Al - Hikmah dalam masa beberapa hari sahaja yang mana akan disalurkan  untuk Misi Bantuan Banjir Kemaman.

Pengarah program surau tersebut, Zainudin Mohd. Amin berkata, selain sumbangan berbentuk wang tunai, mereka juga menerima  barangan makanan, peralatan mencuci dan pakaian terpakai. 

"Saya juga mengalu-alukan kepada sesiapa yang nak menyumbang boleh 'bank-in' duit.

"Insya Allah kita akan buat trip yang kedua untuk lokasi  yang berlainan seperti Jerantut, Temerloh, Raub dan Kuala Lipis," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan surau selepas programPelancaran Misi Bantuan Banjir ke Pahang oleh Timbalan Yang Dipertua Kawasan Marang, Ustaz Mohd Nor Hamzah,di sini, semalam.


Menurutnya, program ini adalah anjuran PAS kawasan Marang.

Beliau yang juga Setiausaha Penerangan surau berkenaan bersimpati dengan musibah yang menimpa mangsa-mangsa banjir.

"Oleh itu mereka merasa terpanggil untuk menganjurkan dan memberi kerjasama dalam penglibatan misi tersebut. 

"Objektif  misi ini adalah untuk membantu dan menyampaikan terus sumbangan kepada mangsa di sana," katanya. 

Sementara itu Ketua Muslimat surau,  Robiah Ismail berkata, muslimat turut bekerjasama membasuh ayam 400 ekor dan lembu seekor yang dicuci bersih, di bungkus dan akan dibawa ke sana.

 "Di sana nanti kami akan mengadakan Dapur Rakyat dan mengagihkan  bungkusan nasi dan lauk kepada semua mangsa banjir di kawasan setempat yang dipilih.

"Sementara itu petugas lain akan membersihkan kesan-kesan banjir di rumah yang dikenal pasti," tambahnya.

Justeru itu, beliau juga mengajak orang ramai untuk berkongsi rezeki dengan turut menyumbang kepada Surau Al Hikmah Al Hikmah Padang Midin ke nombor akaun 1305 3010 0068 88 (Bank Islam).

Ulasan