Proklamasi Darurat Beri Fokus Utama Covid-19


Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menjunjung kasih titah DYMM YDP Agong dalam perkenan proklamasi darurat yang berkuatkuasa pada hari ini di seluruh negara. 

Titah yang bijaksana ini amat tepat pada masa ini bagi meredakan keresahan rakyat dan petugas barisan hadapan yang sedang bergelut dengan wabak pandemik COVID-19 yang semakin hari menunjukkan peningkatan angka positif yang telah pun menunjukkan angka lebih 3000 paling tertinggi baru-baru ini. 

2. Keutamaan negara dan rakyat pada masa kini ialah memerlukan tempoh yang tidak terganggu dengan agenda selain dari menangani wabak pandemik ini serta kebajikan rakyat yang terjejas ekoran pandemik dan juga bebanan banjir baru-baru ini di 5 buah negeri iaitu Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Perak. 

3. Dengan makluman dari Ketua Pengarah Kesihatan bahawa jika tiada ketegasan dan penumpuan penuh dalam menangani pandemik ini, tidak mustahil keboleh jangkitan serta penularan akan mengakibatkan angka mencecah lebih 5000 sehari. Pastinya ia situasi yang sangat sukar apatah lagi, tempat rawatan khas sudah tidak lagi menampung jumlah pesakit jika berterusan mencecah angka 2000 dan ke atas bagi setiap hari. 

4. Selain itu, dengan penguatkuasaan darurat ini dapat memberikan masa rehat seketika dalam suasana politik negara pada hari ini dari kesibukan berpolitik dan tuntutan ke arah PRU 15 disegerakan. Pengajaran dari PRN Sabah menyaksikan bagaimana ia menjadi titik permulaan peningkatan angka positif COVID-19 yang sepatutnya diambil pengajaran dan diinsafi. 

5. Di saat kerajaan sedang berusaha keras dalam memastikan perjanjian perbekalan vaksin yang akan sampai selamat dan mencukupi bagi menangani pandemik ini, diharapkan tempoh darurat ini, memberikan tempoh bertenang agar semua pihak sama ada pihak kerajaan, ahli politik dan rakyat dapat bergandingan bahu bekerjasama melaksanakan apa sahaja usaha yang meletakkan keutamaan dalam isu ini dan kebajikan rakyat yang terjejas. 

6. DUPP menyeru agar semua pihak tidak panik dan melakukan sesuatu yang bukan menjadi fokus utama ini sepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos 2020. Tempoh ini sangat getir untuk memastikan keadaan negara dan rakyat dalam keadaan stabil dan berada dalam keadaan sejahtera sebagaimana yang diharapkan ramai. 

Firman Allah SWT :

(وَإِذَاۤ أَنۡعَمۡنَا عَلَى ٱلۡإِنسَـٰنِ أَعۡرَضَ وَنَـَٔا بِجَانِبِهِۦ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ فَذُو دُعَاۤءٍ عَرِیضࣲ)

Maksudnya :

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar. - [Surah Fussilat 51]

Ulamak Perteguh Muafakat

Islam Memperkukuh Perpaduan


*YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH*

Ketua Penerangan

Dewan Ulamak PAS Pusat

Ulasan