1200 Nelayan Kemaman Mendapat Sumbangan

 


KUALA TERENGGANU - Seramai 1200 orang nelayan di kawasan Kemaman diraikan dengan pemberian sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur.

Yang Dipertua PAS kawasan Kemaman, YB Ustaz Alias Abd Hamid berkata, ia sedikit sebanyak membantu mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

"Di musim pandemik ini, sebahagian besar sasaran bantuan kita tertumpu kepada mereka yang terjejas.

"Dan mungkin terputus bantuan bekalan keperluan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian  di laman sosialnya, selepas menyampaikan sumbangan tersebut secara berasingan. 

"Ini sekaligus menjumlahkan seramai 1,200 orang nelayan (yang berdaftar dengan persatuan) dari seluruh Kemaman menerima sumbangan ini.

"Dengan  kos sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi agihan sumbangan pada golongan nelayan selama dua hari ini," ujar beliau.


Menurutnya pada 23hb seramai 417 orang Di DUN Kemasik dan semalan, 500 orang nelayan di DUN Chukai dan 213 daripada DUN Kijal, menerima sumbangan masing-masing. 

Sebelumnya, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pengusaha  bas sekolah, teksi, tukang gunting rambut dan pengusaha salon.

Selain itu, sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dalam persediaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi seluruh Kemaman turut diberikan bantuan.

Oleh itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua para petugas daripada Jabatan Amal Malaysia, kakitangan Pejabat Persatuan Nelayan dan Pejabat Parlimen Kemaman serta Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK)  yang menjayakan program tersebut. 

"Tidak banyak yang mampu kita sediakan, tetapi diharapkan setiap sumbangan yang dihulurkan mampu dirasai oleh segenap golongan masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan dan juga yang terjejas akibat pandemik Covid-19," tambah Ustaz Alias.


Ulasan