Tok Guru Pondok Komited Dengan Penyatuan Umat


MARANG - Guru Pondok Al-Ansar Kenanga Wakaf Tapai, Tuan Guru Haji Husein ( Tok Ayah) komited dengan usaha penyatuan umat dan memahami politik, di samping mahir dalam dakwah dan pendidikan Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, 'Tok Ayah' juga berpesan jangan menyampaikan sesuatu berita tanpa usul periksa.

“Saya bertanya tok ayah beberapa soalan tentang kekhilafan mazhab dan perbezaan pendapat dalam fekah seperti tauhid tiga serangkai, tahlil dan seumpamanya.

"Jelas tok ayah, kita fokus untuk menyatukan ummah dan bertolak ansur dalam kepelbagaian pendapat dan jangan cepat menyalahkan orang lain," ujar beliau selepas Program Ziarah Ramadan, di Pondok tersebut pada Ahad 18 April.


Ustaz mohd Nor yang juga Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri berkata, masyarakat pondok masa kini sangat teliti tentang perkembangsan semasa termasuk isu-isu yang berlegar di media sosial.

“Saya mohon tok ayah komen tentang kerajaan. Tok Ayah sebut teruskan kebaikan dan bersikap terbuka.

“Sesiapa sahaja boleh buat kesilapan tetapi yang penting ialah kesepakatan. Dia juga tidak percaya dengan cerita sensasi yang disampaikan oleh pihak-pihak tertentu,” ujarnya.

Ujarnya, program ziarah yang diaturkan di bulan Ramadan pada kali ini adalah dirangka khusus untuk menziarahi tuan-tuan guru pondok seluruh negeri ini .

Katanya, Tok Ayah juga merupakan salah seorang guru kepada Ustaz Azhar Idrus.

Turut hadir ialah Setiausaha PAS Kawasan Marang dan Kuala Terengganu, Ustaz Sulaiman Sulong dan Ustaz Mohd Soud Said.

Ulasan