Netizen terbeliak, tercekik Dana Raya


Semalam telah diadakan satu lintas langsung ucapan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar bersempena tiga tahun pemerintahan PAS di Terengganu. Pada asalnya, beberapa rakan media menjangkakan akan berlaku serangan menggila daripada netizen kepada YAB MB, kerana kebelakangan ini, netizen amat sensitif dengan kerajaan PN, baik di peringkat pusat mahupun negeri.


Tetapi agak mengejutkan, disebalik apa yang didakwa sebagai ketidakpuasan hati netizen itu, siaran itu sunyi dari serangan. Yang ada mungkin hanyalah mercun katak yang tidak membingitkan disebalik jangkaan bom pemusnah yang akan dilemparkan. Sebelum saya menulis lebih jauh, netizen yang saya maksudkan dalam tulisan ini ialah “laskar siber samada dari PH ataupun Umno Terengganu” yang masih berangan mahu kembali memerintah.

Satu demi satu pendedahan dan juga fakta berkenaan kejayaan PAS menunaikan janji-janji mereka disebut oleh MB. Sehinggalah sebenarnya sudah 70 peratus manifesto yang dijanjikan PAS dahulu, telah dilaksanakan. Bagi yang biasa dengan peratusan perkembangan sesuatu projek, 70 peratus dalam masa tiga tahun daripada lima tahun yang diberikan, sebenarnya melebihi perkembangan yang biasa. Purata bagi perkembangan projek selama tiga tahun daripada lima tahun sepatutnya hanya 60 peratus.

Terengganu mempunyai seorang MB, 10 orang Exco, yang mana empat daripada mereka ialah Exco Kanan yang berpejabat di tingkat enam Wisma Darul Iman dan enam Exco biasa di tingkat lima. Tiada jawatan Timbalan Menteri Besar. Mereka 11 orang ini, bersama tiga pegawai teratas Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Penasihat Undang-Undang akan bermesyuarat setiap Rabu bagi merangka dan juga melaksanakan rancangan kemajuan negeri.

Manakala dalam peringkat parti pula, mereka akan melaporkan dalam mesyuarat Dewan Harian dan Perhubungan Negeri, meneliti segala pandangan pimpinan PAS sebagai menjalani rutin sebagai parti memerintah kerajaan. Ia adalah amalan politik di Malaysia. Oleh itu, mana mungkin inti manifesto ini akan terlepas daripada perhatian pimpinan PAS dan juga Kerajaan Negeri, kerana itu adalah agenda utama dalam setiap mesyuarat mereka, bagaimana mahu menunaikannya.

Tidak dapat diterima akal yang PAS mahu mendiamkan janji-janji mereka pada zaman maklumat di hujung jari rakyat. Mungkin sedikit kelemahan dalam penyebaran maklumat yang menyebabkan rakyat kurang tahu info sebegini, tetapi mahu melarikan diri daripada menunaikan manifesto, tidak sama sekali. Walaupun dengan situasi ekonomi negeri yang agak parah dicederakan oleh pemerintah terdahulu, yang kini masih menyorongkan pipi mereka, walau hidung tidak mancung, mahu memerintah semula.

Musuh PAS tahu bahawa jika tidak diganggu kejayaan ini, maka nama baik PAS akan kembali segar di kalangan rakyat. Sesuatu harus dilakukan segera bagi membendungnya. Oleh itu umpan Dana Raya dimainkan oleh musuh. Ironinya kedua-dua musuh PAS ini, bersama, senada dan seirama menyerang PAS dalam isu yang sama. Mereka bermusuh, tetapi ada ikatan kukuh dalam hal menyerang PAS.

Dalam keghairah menyerang, tanpa disedari mereka, terbocorlah rahsia yang selama ini dinafikan oleh musuh Umno. Rupanya Dana Raya adalah kesinambungan kepada Wang Ehsan iaitu wang Royalti Petroleum yang dirompak sekitar tahun 2000 dahulu. Ia diakui oleh FB kepunyaan Pergerakan Pemuda Umno Kuala Terengganu. Apa yang berlaku ketika tahun 2000 itu ialah, Umno Terengganu telah membuat usul agar wang royalti disekat daripada diterima oleh PAS, sebagai kerajaan yang sah.

Akibat daripada seronok menyerang oleh ‘admin’ Pemuda Umno ini, maka sahihlah bahawa perompakan itu berlaku, setelah berpuluh tahun ia dinafikan, kini diakui. Rakyat Terengganu diperbodohkan oleh Umno Terengganu ketika itu, dan kini mahu menyambung legasi memperbodohkan rakyat. Rakyat Terengganu tentu masih ingat bagaimana bangganya mereka Terengganu digelar ‘Kuwait’ Malaysia kerana kaya dengan sumber petroleum, tetapi menyorok kepala bila dinamakan sebagai rakyat kedua termiskin.

Mereka fikir, isu Dana Raya ini akan berguna bagi menyerang Kerajaan Terengganu dan mungkin menjatuhkannya. Strategi semakin rakyat miskin dan bodoh, semakin kuat pergantungan rakyat kepada mereka, kini gagal. Rakyat Terengganu sudah bijak dan waras dengan menerima perubahan yang dilakukan oleh YAB MB supaya rakyat diberikan peralatan untuk berusaha, bukannya wang semata-mata yang akan menjadikan mereka malas dan mengharapkan bantuan sentiasa.


Kebencian mula disuarakan oleh rakyat kepada musuh PAS ini apabila mendedahkan ketika dahulu, mereka, walaupun miskin, tidak pernah mendapat sekalipun Wang Ehsan atau Dana Raya kerana pihak yang bertanggungjawab ‘memilih bulu’. Malah rakyat yang tidak menyokong mereka, diugut supaya bersumpah akan menyokong kerajaan memerintah ketika itu. Yang diberikan harapan palsu juga ramai. Mereka hanya diberitahu selepas permohonan ditutup. Begitulah jahatnya sikap memeras mereka.

Kini kuasa sudah tiada di tangan mereka dan mereka cuba memanggil kembali orang yang pernah mereka berikan Dana Raya dahulu untuk menyokong mereka. Tetapi sikap jahat mereka pula terserlah. Nyata sekarang, mereka telah tercekik dengan isu Dana Raya yang mereka cipta sendiri. Dengan penjelasan kejayaan Kerajaan Negeri selama tiga tahun ini, rakyat tidak berminat menyertai mereka bagi menghina kerajaan disebabkan Dana Raya. Mereka terbeliak mendengar kejayaan Kerajaan Negeri.

Lagipun jika kembali dapat memerintah, pastinya Dana Raya akan diagihkan sesama mereka sahaja juga, seperti dahulu. Kalau mahu diberikan kepada bukan golongan mereka, pasti disertai dengan ugutan. Oleh itu menyokong mereka, sama dengan membuka jalan wang kerajaan diambil mereka sesuka hati dan bukan mahu diagihkan kepada rakyat marhaen.

Nampak kan, isu Dana Raya ini hanya mahu mengisi tembolok siapa? Kerana golongan yang benar-benar miskin sudah disediakan peruntukan khas bagi mereka dan tidak pernah terpinggir. Tetapi ada golongan yang dikenali, dahulunya sering mengutip Wang Ehsan dan pernah datang dengan kereta mewah menerima wang, pasti tidak mendapat lagi keenakan duit percuma setelah pembersihan nama dilakukan. Mungkinkah nama golongan miskin digunakan bagi kepentingan mereka sahaja?


Mohd Nasir Abdullah

11 Mei 2021

Ulasan