23 Jun : Rantai Mata Perjuangan Yang Pergi


Tanggal 23 Jun ini merupakan satu tarikh yang sentiasa diingati oleh ramai ahli PAS, iaitu tarikh pemergian 3 orang tokoh yang sangat dikenali dan dirindui dalam perjuangan.

Tarikh bersejarah ini telah merakamkan pemergian arwah Almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor pada tahun 2002, Almarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik pada tahun 2014 dan Almarhum Haji Ahmad Subki bin Abdul Latif pada tahun 2020.

Insan-insan yang banyak meninggalkan kenangan dan amal bakti buat negara kita.

Almarhum Dato' Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor yang merupakan Presiden PAS yang keenam ini sememangnya terkenal dengan kekemasan, bukan saja dari segi penampilan, lebih-lebih lagi dari segi gerak kerja. Ketokohan yang terserlah sejak bergelar pelajar membawa kepada peringkat yang paling tinggi di dalam parti yang disertai. Dikenali bukan saja bagi kawan dan lawan malahan hingga ke peringkat antarabangsa. Kata-kata yang ditutur sentiasa ditunggu para ahli. Tindak tanduknya pula sering menjadi perhatian lawan. Dikenali oleh rakyat sebagai wakil rakyat yang mesra. Ribuan manusia mengalirkan air mata mengiringi pemergian almarhum pada pagi 23 Jun 2002 itu. Jasa dan pengorbanan almarhum dalam parti dan perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini di bawa sehingga nafas terakhir.

Almarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik sangat dikenali ketokohannya dalam usaha pengkaderan. Cintanya pada bidang tarbiyah tidak berbelah bahagi. Di mana saja ada orang muda, mudah saja dirinya memenuhi undangan bagi berkongsi dan mendidik anak muda. Di era kepimpinan almarhum juga, telah terbinanya organisasi tentera merah yang dikagumi iaitu Unit Amal yang kini telah menjadi sebuah jabatan. Bukan mudah ujian dihadapi, malahan pernah menjadi tahanan ISA, tapi sedikit pun tidak melunturkan semangat untuk terus membawa agenda perjuangan menegakkan Islam yang dicintainya ini.

Almarhum Haji Ahmad Subki bin Abdul Latif atau mesra dikenali sebagai Pak Subky begitu disegani dengan ketokohannya dalam bidang penulisan dan antara individu yang mencetuskan Konsep Kepimpinan Ulamak PAS yang diguna pakai sehingga hari ini. Almarhum juga pernah memegang jawatan Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri kedua Malaysia, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein pada era PAS berada dalam kerajaan Barisan Nasional. Penulisan dan idea yang dilontarkan sentiasa segar walaupun sudah memasuki warga emas. Usaha almarhum untuk sentiasa mendekati golongan veteran dalam PAS untuk terus berjuang sehingga akhir usia sangat besar dalam PAS dengan penubuhan entiti AsSabiqun dalam PAS bermula tahun 2016.

Pemergian tiga insan ini membuatkan hati amat sayu dan hiba. Juga membuatkan saya terfikir bagaimana dengan legasi kita pula nanti.

Apa yang bakal kita tinggalkan buat rakyat dan umat, sebagai sebuah kenangan dan jasa.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan mengurniakan syurga buat para pejuang Islam yang telah pergi dulu.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
 
Maksudnya:  “Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka."
Riwayat Muslim (963)

Mudah-mudahan mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat keredaan Allah SWT. 

Mari kita sedekahkan al-Fatihah buat mereka.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Naib Presiden PAS

Ulasan