PAS Setuju Umno Tidak Desak PRU15

 


PAS merujuk kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa UMNO tidak perlu mendesak Kerajaan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) dalam waktu terdekat kerana negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

PAS berpandangan kenyataan tersebut amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi.

Justeru itu PAS turut menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan NGO tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu Kerajaan menguruskan dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar (grave emergency) ini. Ini sekaligus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin.

PAS yakin Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung PAS.


Bertarikh: 14 Jun 2021

Ulasan