Segerakan Pembukaan Kedutaan Untuk Palestin Di Jordan

 


Ancaman besar kepada keamanan dunia sekarang adalah kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutunya yang menjadi pelindung kepada setiap tindakan kejam Israel di Palestin. Amerika Syarikat dilaporkan meluluskan penjualan senjata berpandu bernilai AS$735 juta kepada Israel. Ini membuktikan siapa dibelakang rejim zionis.

Dianggarkan, seramai 192 penduduk di Gaza terbunuh sepanjang serangan yang bermula sejak Isnin lepas. Angka penduduk yang terkorban terus meningkat apabila serangan merebak ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sehingga meragut 17 lagi nyawa.

Saya mewakili ADUN Belia Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya rejim zionis yang membunuh rakyat palestin. Kami juga menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin dan berharap pemuda di seluruh dunia, bangkit secara proaktif mendukung perjuangan Palestin, dalam mempertahan kedaulatannya dan menentang rejim Zionis Israel. 

Perjuangan rakyat Palestin yang kini adalah mempertahankan bumi ambia’ daripada dijarah Zionis Israel. Oleh itu, kami sentiasa menyokong sebarang usaha bagi membebaskan bumi Palestin dan membela rakyatnya yang ditindas serta menolak sebarang hubungan diplomatik dengan regim Israel.

Pihak antarabangsa perlu mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara berdasarkan pra sempadan 1967. Justeru, dicadangkan supaya satu ketetapan politik dilakukan supaya dunia dapat memberikan perhatian dengan apa yang berlaku di Palestin kini

Oleh itu, saya sebagai Adun Belia Terengganu menyeru Kerajaan Malaysia supaya mengambil ketetapan seperti berikut: 

(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis  ke atas Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam; 

(2) Meminta Kerajaan Malaysia mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencela Israel

(3) Meminta Kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat, untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza; 

(4) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC); 

(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ); 

(6) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak; 

(7) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010 supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini; 

(8) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghiraukan dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis; 

(9) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat; dan 

(10) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

(11) Menggesa Kerajaan mempercepatkan pembukaan kedutaan untuk palestin di jordan bagi membolehkan bantuan dan sokongan yang berterusan disalurkan kepada rakyat palestin yang kini berdepan kezaliman rejim israel. 

Pembukaan kedutaan ini akan lebih memudahkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang menderita di bawah pendudukan rejim Zionis. Seperti yang kita tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu rancangan Malaysia untuk membuka kedutaan di Jordan adalah satu langkah yang baik.

Ini adalah satu tindakan diplomatik dan langkah ke hadapan dalam hubungan Malaysia-Palestin, demi mempertahankan hak dan keadilan rakyat Palestin yang berdepan kezaliman regim Israel. Ia juga sebagai tindak balas terhadap perbuatan Israel menyerang Al Quds dan tindakan negara Barat menyokong keputusan negara Yahudi itu.

Ketika ini Palestin mempunyai sebuah kedutaan di Kuala Lumpur manakala Duta Besar Malaysia ke Mesir turut mewakili kepentingan Palestin. Kita juga berharap pada suatu hari nanti dapat  melihat bendera Malaysia di Al Quds, ibu kota Palestin yang merdeka pada suatu hari nanti.

Mohammad Farhan Bin Shalahhudin

ADUN Belia Negeri Terengganu



Ulasan