Sumbangan Prihatin Warga PASTI


 DUNGUN - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Dungun mewakili seluruh warga pusat pendidikan pra-sekolah itu, menyampaikan sumbangan prihatin kepada mangsa kebakaran di Kampung Che Lijah itu. 

Pengerusinya, Muhammad Fauzi Mahammad Khairuddin berkata, rumah dua orang pelajar PASTI Al Mukmin, Muhammad Afiq Amsyar dan Alauddin Azim, telah musnah di dalam kejadian yang berlaku pada 2 Jun lalu. 

Oleh itu, menurutnya, pihak beliau mengambil inisiatif menghimpun dana bagi membantu keluarga terbabit, mengurangkan beban kehidupan mereka yang diuji Allah dengan musibah teesebut. 

"PASTI Kawasan Dungun  mengambil kesempatan menyerahkan Skim Kebajikan PASTI, kutipan sumbangan warga pra-sekolah Parti Islam Se-Malaysia(PAS) itu dan juga Badan Bukan Kerajaan(NGO) Pertubuhan Kebajikan Tunas Islam Dungun kepada ayah mereka, Muhammad Nizam  Kadir. 

"Bantuan berupa wang tunai serta keperluan sekolah sebagai inisiatif kami dan juga sokongan moral agar anak-anak Encik Muhamad Nizam terus bersemangat untuk belajar dan terus berjaya," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas berkunjung ke rumah nenek mereka untuk menyampaikan sumbangan tersebut. 

Menurutnya sejak  insiden  tersebut, Muhamad Nizam bersama keluarganya menumpang di rumah mertua yang terletak tidak jauh dari situ. 

"PASTI merupakan sekolah dibawah seliaan Pemuda PAS Malaysia sentiasa komited membantu kebajikan warganya menerusi Skim Kebajikan," tambahnya.

Ulasan