Ustaz 'Alfatehah' Dalam Kenangan


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Rindu yang paling memeritkan nurani dan menyesakkan dada ialah kerinduan kepada insan yang telah pergi selamanya. Antara tokoh PAS yang sentiasa dalam ingatan kita semua ialah almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik, anak kelahiran Terengganu dengan beragam pengalaman hidup.

Mantan tahanan ISA serta antara jurubina penting dalam jamaah Islam negara ini. Kami anak muda yang pernah ditarbiah oleh almarhum menggelarnya Ustaz ABC manakala bagi anak buah yang rapat pula menggalang gelaran jauh dibelakang almarhum sebagai "Ustaz alfatihah". Gelaran itu melambangkan kualiti hidup beliau, jika bertemu tiga aktivis dengan kesesuaian masa maka almarhum akan terus membuka majlis untuk bermesyuarat, "Al-Fatihah" dengan suara lemak garaunya.

Terkenal dengan reputasinya dalam bidang pendidikan, almarhum juga seorang jurubina kader yang tersohor. Idea-ideanya, melangkaui zaman dan keseriusan untuk memeluk segala impian maka insan ini begitu komited bekerja. "Ustaz, anta tak penat ke dalam usia begini kesana dan kemari mengejar program dan mesyuarat?", polos soalanku pada Ustaz ABC. " ana ni ambik semangat orang muda, suka bekerja dengan orang muda, orang muda mana ada istilah penat" tukasnya dengan terang, namun ada tawa kecil di hujung jawaban. Beliau mengotakan kata-katanya, tiada istilah bosan dan lelah dalam perjuangan.

Almarhum bukan sahaja memenuhi pelbagai undangan ceramah, mengisi materi di jaulah, tamrin, ijtimak, namun menggunakan pelbagai kenderaan untuk sampai ke lokasi program. Menaiki bas, kereta, membonceng motor dan tiba di lokasi program dengan senyuman khasnya. Begitu juga untuk melepas penat seharian berprogram, kadang terbaring dengan dengkuran halus dimana sahaja, termasuk di Markas Tarbiah. Alumni tahanan politik ISA ini menyintai jamaah dan jalan jihad sepenuh relung hatinya.

Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif kita semua. Menjadi aktivis semenjak zaman remaja, idealis kampus serta aktivis yang berani mendombrak kezaliman sehingga mendekam dalam tahanan ISA. Ustaz Dato' Abu Bakar Chik adalah kejora di langit malam yang menghiasi rentang perjuangan PAS lebih tiga dekad. Memimpin anak-anak muda, bahkan dengan gaya pemberani serta tegas, beliau singa jalanraya yang memimpin puluhan siri bantahan awam di negara ini. Watak pemberani yang dikacuk dengan sifat dahagakan ilmu pengetahuan, beliau adalah calon Doktorat UNISEL sehinggalah beberapa hari sebelum ramadhan enam tahun yang lepas dijemput Ilahi kembali ke negeri abadi. Masa yang pantas bergulir dalam tempoh tujuh tahun ini sehingga kita merasakan bahawa beliau baru sahaja meninggalkan kita dengan senyuman khasnya itu.

Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Hj Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangaat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.

Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988 kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.

Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda PAS Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.

Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan  Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Aku teringat almarhum menemankan aku makan tengahari usai, Program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekandaku, ustaz ABC. Aku tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.

Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat,  bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak-anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang, menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.

Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baikku ini, namun aku mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya,  Dato Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90an, menggelarkannya secara diam "alfatihah", kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Alfatihah buat maestro perjuangan, kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.

(Penulis ialah AJK Pas Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan