Keputusan Umno Tiada Hala Tuju


Oleh : Faizul Abas

Keputusan Umno menarik diri daripada memberi sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menggambarkan pendirian sebenar keseluruhan pemimpin Majlis Tertinggi Umno.

Ia melambangkan keputusan yang terdesak, tidak matang dan tiada halatuju.

Dalam keadaan suasana pandemik Covid19 yang masih tidak reda, politik Malaysia sekali lagi bakal berhadapan dengan ketidakstabilan kerajaan.

Muhyiddin Yassin sudah kehilangan sokongan majoriti tetapi sokongan baharu untuk membentuk kerajaan tidak jelas dari mana.

Bilangan kerusi PN hanya tinggal 54 daripada 222 tetapi PN tetap memerintah Malaysia. Ini kerana Umno yang menjadi komponen terbesar BN memberi janji untuk teruskan 'confidence and supply' kepada kerajaan PN sejak Julai tahun lalu agar terus memerintah.

Manakala Pakatan Harapan pula yang didakwa mempunyai sokongan 91 kerusi parlimen, masih tidak mampu meyakinkan Istana Negara untuk membentuk kerajaan baharu.

Beberapa bulan lepas, kecoh dengan berita tersebarnya audio perbualan Zahid dengan Anwar dan mereka didakwa mempunyai rancangan untuk membentuk pakatan baharu yang diberi nama Jajaran Baharu.

Umum melihat ini adalah tindakan terdesak Zahid, Anwar dan beberapa lagi nama ahli politik yang mahu menyelamatkan diri daripada kes mahkamah yang sedang berjalan.

Kedua-dua blok parti politik ini sangat bergantung kepada sokongan ahli parlimen daripada Malaysia Timur dan sejarah politik tanahair membuktikan kerajaan boleh tergugat dan bertukar tangan dek kerana acara lompat melompat dari pelbagai parti.

Ini sudah menjadi 'trend' poliik di Malaysia dan keadaan ini sangat tidak baik kepada imej Malaysia di mata dunia khususnya kesan kepada 'international political economy'.

Satu-satunya parti yang masih selamat dari gejala ini hanyalah PAS. Tetapi PAS hanyalah minoriti dalam kerajaan PN. 18 kerusi sahaja.

Pendirian terkini PAS tetap menyokong tindakan Tan Sri Muhyiddin melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan yang bertindak sebagai Menteri Luar Negeri.

Peranan PAS masih lagi sebagai tali pengikat antara dua parti melayu iaitu Bersatu dan Umno. Walaupun tidak banyak kerusi dan hanya ada 3 menteri penuh dalam kerajaan, tetapi sokongan PAS tetap memberi impak yang besar kepada pembentukan kerajaan dan naik turun suhu politik negara.

Sikap dan pendirian Dato' Seri Tuan Guru Haji  Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS telah dinyatakan bahawa semua pihak hendaklah menumpukan kepada melawan pandemik Covid19, bukannya sibuk berpolitiking merebut kuasa.

Pendirian ini bukan bermakna PAS takut hilang kuasa tetapi selamatkan Malaysia daripada pandemik adalah lebih diutamakan. Keselamatan nyawa rakyat adalah jauh lebih utama daripada membentuk kerajaan baharu yang lebih kukuh buat masa sekarang.

Pilihanraya tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat. Jika bertukar Peranaa Menteri dan parti pemerintah sekalipun, Covid19 tidak mungkin turun mendadak. Ekonomi negara juga tidak mungkin pulih segera. Keadaan ekonomi dan kebajikan rakyat belum tentu terjamin lebih baik di bawah kerajaan baharu.

Rakyat tidak mudah lupa apa yang pernah berlaku sewaktu pentadbiran PH. Rakyat tidak lupa apa yang DAP telah lakukan. Rakyat tidak lupa dengan ketidakcekapan Menteri Kewangan ketika itu. Rakyat tidak lupa dengan janji-janji yang dimungkiri.

Orang beriman tidak jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali! 

Ulasan