Masa Depan Kanak-kanak Yaman Terancam

 


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran, pendidikan dan masa depan kanak-kanak Yaman berada dalam keadaan terancam kerana perang yang berterusan di negara Timur Tengah itu. 

Dalam laporan bertajuk;  'Pendidikan Terganggu: Kesan konflik terhadap pendidikan anak-anak di Yaman'  , UNICEF menyatakan pada hari Isnin, lebih daripada dua juta kanak-kanak tidak bersekolah kerana konflik selama ini dan kemiskinan yang melampau.

"Kanak-kanak tetap menjadi mangsa utama krisis yang dahsyat ini, dengan 11.3 juta memerlukan beberapa bentuk bantuan kemanusiaan atau bantuan perlindungan," menurut  laporan itu.

Kira-kira 8.1 juta kanak-kanak memerlukan bantuan pendidikan kecemasan di seluruh Yaman, peningkatan daripada 1.1 juta yang dilaporkan sebelum perang bermula, katanya.

Pada tahun 2014, kumpulan bersenjata Houthi mengambil alih kawasan besar di negara itu, termasuk ibu kota, Sanaa. 

Konflik meningkat dengan ketara pada bulan Mac 2015 ketika gabungan tentera negara-negara serantau, dipimpin oleh Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, campur tangan untuk berusaha mengembalikan pemerintahan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Perang di Yaman membawa kepada apa yang digambarkan oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan puluhan ribu terbunuh, berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan dua pertiga dari 30 juta penduduknya bergantung pada bantuan.

Ulasan