RCI Tetap Akan Siasat Pelan Pemulihan LTH Bawah PH

 

Saya menerima banyak aduan yang memaklumkan kekecewaan mereka kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (LTH) yang ditubuhkan Kerajaan, dikatakan telah mengecualikan siasatan terhadap Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Kekeliruan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Kementerian Kewangan yang menyatakan bahawa skop siasatan RCI LTH akan turut merangkumi langkah-langkah pemulihan yang dilaksanakan sehingga 2020.

Pengecualian yang diberikan kepada “Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini” seperti yang disebut dalam kenyataan media Timbalan Perdana Menteri pula sebenarnya merujuk kepada pelan baru yang sedang dilaksanakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Kenyataan ini sama sekali tidak memberi pengecualian kepada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH semasa zaman Pakatan Harapan.

Hal ini bermaksud isu-isu kontroversi yang membabitkan TH di bawah pemerintahan PH sebelum ini tetap akan disiasat oleh RCI, termasuklah isu penjualan aset-aset TH, perancangan penjualan anak-anak syarikat TH, serta lain-lain isu yang memerlukan siasatan lanjut.

Kerajaan PH sebelum ini dilihat lebih selesa mendedahkan tuduhan kegagalan demi kegagalan LTH kepada media, tetapi tidak pula mampu untuk memulakan pendakwaan jenayah kepada mana-mana individu

Strategi "blame game" ini dilihat memberi impak buruk kepada keyakinan pendeposit dan menimbulkan keresahan kepada sebahagian besar umat Islam yang sayang kepada TH. 

Apa yang lebih menyedihkan, tidak banyak pelaburan baru yang dilaksanakan sehingga menjejaskan pendapatan dan juga agihan keuntungan kepada para pendeposit TH.

Kerajaan PN pula sebaliknya memilih pendekatan menyiasat segala dakwaan yang melibatkan LTH, bermula tahun 2014 lagi, untuk mengembalikan keyakinan pendeposit dan memastikan TH ditadbir dengan tujuan asal penubuhannya.

Kerajaan hari ini konsisten dengan pendirian untuk meneruskan RCI kerana begitu banyak dakwaan-dakwaan yang tidak elok melibatkan aset-aset ummah. Hasil siasatan RCI ini sangat penting bagi membersihkan nama TH dan mengembalikan semula keyakinan pendeposit kepada TH.

YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary
17 Julai 2021 | 7 Zulhijjah 1442 H

Ulasan