Sidang DUN Terengganu 13, 14 dan 15 September


Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijangka akan mengadakan Persidangan DUN selama tiga hari bermula 13, 14 dan 15 September 2021 ini.

Yang Dipertua (Speaker) DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, tarikh cadangan telah ditetapkan bagi mendapat perkenan Sultan Terengganu.

Katanya, tarikh persidangan DUN Terengganu itu ditetapkan selama tiga hari mengikut ‘prosedur operasi standard’ (SOP) Covid-19.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah mencadangkan tarikh yang dibawa oleh YAB Menteri Besar (Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri), untuk mendapat perkenan Tuanku (Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin).

“Sidang DUN (Terengganu) akan datang ini akan diadakan pada 13, 14 dan 15 September akan datang selama tiga hari. 

“Perjalanan sidang (DUN) secara ‘detail’ akan kita putuskanlah (mengikut) SOP dalam suasana Covid-19 ini,” ujarnya ketika dihubungi Harakah, pada semalam.

Menurut Dato’ Yahaya, kebiasaannya persidangan pembukaan DUN kali pertama ini akan dirasmikan oleh Tuanku Sultan. 

“Sidang kali pertama (pembukaan) lazimnya Tuanku akan berangkatlah (rasmi). Tetapi, sekarang sudah lewatlah. Sepatutnya, bulan Mac 2021 lalu,” jelasnya. 

Persidangan DUN Terengganu kali terakhir 23 November 2020 lalu ketika Pembentangan Belanjawan Terengganu 2021, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, DUN Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.


Ulasan