Jangan Bincang Hal 'Remeh Temeh' – YDP DUN Terengganu


Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu diseru agar memanfaatkan peluang sebaiknya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan dan jangan membazirkan masa dengan hal yang ‘remeh temeh’.


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka harus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada pihak kerajaan.

“Usah kita pertikaikan perkara-perkara picisan yang menyebabkan perbalahan sesama sendiri kerana dalam era pandemik seperti ini.

“Setiap wakil rakyat perlu bersatu, berganding bahu demi kemaslahatan rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata demikian ketika berucap dalam pembukaan sidang DUN Negeri Kali Keempat belas yang bemula pada hari ini, 13 hingga 15 September.

Tegasnya, setiap wakil rakyat mestilah mengambil peluang yang ada dengan sebaik-baiknya dalam menguruskan kepentingan politik dan kehidupan bermasyarakat.

”Kita boleh berbeza pendapat dalam perkara-perkara cabang (furu') tetapi atas nama kita sebagai umat Islam tidak ada apa-apa alasan lagi untuk kita tidak boleh Bersatu.

“Dan bermuafakat dalam perkara dasar (usul) demi kepentingan masa depan agama kita, bangsa kita dan survival generasi yang akan datang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau memohon maaf kepda semua ADUN sekiranya peraturan dan SOP yang ditetapkan bagi menghadiri sidang pada kali ini agak ketat yang mungkin akan menyebabkan tidak selesa.

“Keputusan yang dibuat umpamanya mewajibkan setiap Ahli Yang Berhormat (AYB) menjalani 'swab test' sebelum persidangan dan setiap hari perlu membuat 'saliva test' secara kendiri.

“Serta mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk adalah untuk mempastikan keselamatan kita bersama, insya-Allah,” tambah beliau.

Ulasan