31 TAHUN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM, KELANTAN YANG DINAMIK (SIRI II)


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan  telah merancakkan perkembangan  pendakwahan dan pendidikan Islam di Kelantan. Negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘serambi Mekah’ dengan aspirasi 'Membangun Bersama Islam'. Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal.

Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan. 

Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah-sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan pra sekolah seperti PASTI.

YIK telah diberikan peranan yang besar untuk memastikan kelangsungan dan menjana pendidikan Islam di Kelantan, sesuai dengan slogan kerajaan Kelantan, ‘membangun bersama Islam’. Program pendidikan Islam adalah menekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam. Sekolah-sekolah YIK terbukti mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM. Di antaranya ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang sentiasa berada di carta teratas sekolah cemerlang di negara ini.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di Negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri di mana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Kerajaan Kelantan juga memberikan perhatian kepada anak-anak perantau yang bekerja di luar Kelantan, memberdaya gerakan mahasiswa samada anak Kelantan di kampus tempatan atau pun diluar negara.

Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan.

Kelantan 31 tahun ini telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Kota Bharu menjadi bandaraya yang sibuk dan lumayan menerima pelbagai tetamu luar. Keunikan Kelantan menjadikanianya tarilan pelancong. Pelbagai bandar baru dan bandar satelit telah mengubah wajah negeri ini dalam tiga dasawarsa. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan dan pendakwahan.

Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini, Dato Ahmad Yaakob, Dato Nik Amar dan seluruh pimpinan negeri. Semoga rakyat Serambi Mekah ini terus mendokong aspirasi "Membangun Bersama Islam" untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini.

Syukur kepada Allah kerana generasi muda Kelantan yang lahir selepas tahun 1990 tidak kenal akan kedai judi, pesta arak, konsert berteras hedonisme, hiburan bertera kesyirikan, pusat-pusat pelacuran. Semoga warga Kelantan tidak menggadaikan Kelantan kerana satu dua kes kesilapan, teruskan memelihara dan menjaga reputasi Kelantan dalam acuan Membangun Bersama Islam. Semoga Kelantan terus kekal bersama-sama PAS, membangun bersama Islam!. 

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan