30 Oktober 2021

Arak ‘Timah’, ada pihak tidak sensitif - Dato’ Yahaya

 


Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: 29 Okt (Hrkh)- PAS menggesa kerajaan perlu bertindak lebih tegas dalam meluluskan sesuatu perkara termasuk penjenamaan sejenis minuman keras arak bernama ‘Timah’.

Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, isu sejenis arak yang dinamakan Timah itu telah membuka ruang menyebabkan umat Islam tersentuh hatinya.

Justeru, katanya diharapkan ahli-ahli badan ‘legislatif’ atau perundangan perlu melihat isu jenama arak Timah ini suatu isu yang serius dari segi perbahasannya.

“Pada masa yang sama pihak kerajaan sendiri perlu lebih tegas dalam meluluskan suatu perkara yang menyentuh kedudukkan umat Islam. Ini memerlukan suatu kebijaksanaan di kalangan pemimpin-pemimpin.

“Mana yang harus boleh diharuskan, tapi apa yang dikatakan boleh menimbulkan suatu suasana yang tidak sihat atau menyentuh sensitiviti di kalangan kaum termasuklah khususnya berkait orang Islam ini hendaklah dijaga dengan sebaiknya.

“Kita tidak mahu dalam negara kita ini, walaupun dikatakan ada ‘kebebasan’ kepada orang bukan Islam untuk minum arak di tempat (secara) ‘private’ mereka. Tapi tidak boleh kita katakan apa sahaja perkara yang berkait dengan arak, kerana mereka berhak minum arak, (hingga) mereka boleh bertindak bebas, yang menyebabkan kita tidak menjaga dari segi keharmonian dalam masyarakat itu sendiri.

“Apa yang penting, kita hendak masyarakat kita ini dibina atas asas yang kukuh dan paling penting ialah semua pihak yang ada asas agama selain daripada agama Islam, mereka perlu beramal dengan agama mereka sendiri dengan sebaik-baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai Ahli Panel dalam Program Bicara Minda, Bahana Arak di Malaysia-Halangan dan Cabaran secara bersemuka anjuran Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di saluran TV Darul Iman dan Kelantan TV, semalam.

Ahli panel lain yang terlibat iaitu Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan moderatornya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Justeru, katanya PAS berharap agar isu penjenamaan arak itu tidak berpanjangan yang boleh dikaitkan dengan sensitiviti terutama melibatkan orang Islam majoriti di negara ini.

Menurutnya, isu jenama arak Timah itu telah menimbulkan kesan ‘mendalam’ terhadap umat Islam kerana dikaitkan dengan nama anak Nabi Muhammad SAW bernama Fatimah RA serta dekat nama panggilan orang Melayu Islam.

“Ini menimbulkan kesan kepada umat Islam. Saya difahamkan telah ada perbincangan melibatkan beberapa kementerian untuk melihat semula kelulusan jenama Timah ini. 

“Sebab, orang bukan Islam dalam Perlembagaan Perkara 3(1), Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Maknanya, tonggak kepada beragama dalam negara kita ini adalah agama Islam. 

“Jadi, kenapa kita mahu mencetuskan suatu keadaan yang boleh menyentuh peruntukan Perlembagaan yang telah menjadi suatu ‘Kontrak Sosial’ di kalangan masyarakat, dan dalam masa yang sama kita semacam tidak mempedulikan sensitiviti di kalangan umat Islam itu sendiri,” tegasnya.

Menurut Dato’ Yahaya, apabila muncul produk baharu sejenis arak dengan jenama yang dihubungkait dengan orang Islam, ianya merupakan suatu perkara yang sangat sensitif.

Mekipun, katanya ada sebahagian orang berpendapat bahawa hanya PAS sahaja yang sensitif dalam isu jenama arak itu atau dengan makna lain seolah-olah PAS mempolitikkan isu tersebut.

“Kita berusaha untuk mengurang, mencegah gejala minum arak. Tetapi, apabila berlakunya penjenamaan arak dengan nama Timah ini, sebenarnya kita tidak berhati-hati. 

“Saya tidak pastilah bila lesen ini dikeluarkan tetapi sepatutnya, pihak yang bertanggungjawab sebelum ini sudah tentulah di kalangan orang bukan Islam. 

“Oleh sebab itu, perlu ada suatu kesedaran dalam keadaan umat Islam berusaha untuk mengurangkan atau mencegah penglibatan masyarakat dalam minum arak,” jelasnya. 

Arak tempatan itu mencetuskan kontroversi sejak tular lebih minggu lalu susulan penggunaan namanya ‘Timah’ yang turut mengunakan gambar seakan lelaki berkopiah, sekaligus mencetuskan kemarahan Budan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan pengguna, kumpulan pendesak Melayu dan parti-parti politik Melayu Islam.

Tiada ulasan:

Hizbullah Dan Sekutunya Kalah

Hizbullah yang disokong Iran dan sekutunya telah kehilangan majoriti mereka di parlimen Lubnan selepas keputusan pilihan raya umum negara it...