17 Oktober 2021

Hentikan Operasi Arak


Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan kekesalan dan kekecewaan atas kewujudan arak buatan Malaysia yang baru sahaja memenangi anugerah antarabangsa baru-baru ini. 

Ini bukanlah suatu kebanggaan, tetapi sebaliknya suatu malapetaka dan hinaan buat Malaysia. 

Berdasarkan carian, arak jenama Timah ini bukanlah baru sahaja wujud seperti yang digembar-gemburkan cybertrooper Pembangkang, tetapi arak ini telah wujud sejak bertahun lamanya. 

Pemuda PAS melahirkan persoalan bagaimana pengusaha arak ini beroperasi sejak sekian lama, tetapi digembar-gemburkan seolah ianya baru wujud setahun dua ini. 

Walaupun begitu, Pemuda PAS tetap konsisten menentang kewujudan perusahaan arak ini.

Pemuda PAS memahami bahawa hanya agama Islam yang melarang penganutnya meminum arak. 

Namun, arak ini bukan sahaja merosakkan umat Islam sahaja, malah kesannya turut dirasai semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. 

Berapa ramai rakyat Malaysia yang telah mati akibat kesan arak, samada asbab kemalangan jalanraya mahupun ketagihan arak? 

Berapa banyak institusi kekeluargaan yang runtuh akibat arak? Kesannya merosakkan seluruh institusi masyarakat dan negara.

Pemuda PAS mendesak supaya kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mengambil tindakan menutup terus perusahaan arak ini dari terus beroperasi. 

Kewujudan kilang arak ini, yang turut giat mengeksport produk mereka tidak mendatangkan sebarang manfaat, malah mendatangkan mudarat yang besar. 

Masih banyak lagi sumber pendapatan yang boleh diperolehi oleh negara selain perusahaan najis arak.

Pemuda PAS juga menasihatkan pihak Pembangkang yang galak bermain isu ini supaya bercakap berdasarkan fakta dan tidak menjadikannya modal sentimen politik murahan.

Hakikatnya kilang ini turut beroperasi semasa zaman mereka menjadi kerajaan dan mereka sendiri berdiam walaupun mengetahuinya. 

Sebaiknya seluruh umat Islam, tanpa mengira agama dan latarbelakang politik bersatu padu menggesa supaya perusahaan arak ini dihentikan segera.


Nazir Helmi

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Malaysia

16 Oktober 2021 | 10 Rabiulawal 1443 H

Tiada ulasan:

Rasulullah Model Guru Unggul

KUALA TERENGGANU - Nabi Muhammad, Rasulullah SAW menjadi model contoh guru paling unggul di dunia kerana menyelamatkan manusia dari kegelapa...