Kenyataan Nik Dir Bakar Semangat Pertahan Kerajaan


MARANG - Dakwaan tidak berasas Ketua Penerangan UMNO Terengganu terhadap PAS demi menolak Muafakat Nasional (MN) di negeri ini, ternyata membakar semangat anak muda untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.

Ketua Pemuda PAS Marang, Muhammad Yusof Abdul Hadi menegaskan, kenyataan yang dibuat Nik Dir Nik Wan Ku adalah keterlaluan dan seolah-olah melancarkan perang terhadap PAS.

"Sebagai anak muda, kita memang terguris dengan tuduhan tidak betul tersebut, tapi dalam masa yang sama ia membangkitkan semangat ahli untuk pertahankan parti serta kerajaan.

"Sebagai ahli PAS juga, kita diajar untuk taat dan wala' kepada kepimpinan, hingga kini kepimpinan mahu kita menjaga MN walah ada pihak yang cuba menghancurkannya," ujar Muhammad Yusuf.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) kali ke-37 secara atas talian di Rusila hari ini.

Terdahulu, Muhammad Yusuf berkata, mesyuarat agung tersebut merupakan medan pemuda PAS untuk merapatkan saf bagi menghadapi Pilihanraya Umum.

"Walaupun kita diuji dengan wabak COVID-19, kita tetap melaksanakan mesyuarat ini secara hibrid dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Kita tetap adakan kerana ini medan yang sangat penting untuk kita bermuhasabah dan merangka strategi selepas ini," ujar beliau.

Ulasan