Keluar Dari Kepompong!


Oleh : Rohayati R 

KUALA NERUS – Dewan Ulama PAS Pusat menggesa semua ahli dan penyokong agar melaksanakan program keluar dari 'kepompong'. 

Ketuanya, YB Ustaz Dr Nik Zawawi Salleh berkata, banyak agenda dibuat menjurus kepada progran dalaman sahaja dan terlalu sedikit capaian luaran. 

“Ini perlu kita muhasabah. Sekarang kita berada di Putrajaya. Kita guna apa jua kesempatan untuk melangkah keluar dan mengajak masyarakat supaya mengenali Islam .

“Mesti ada agenda-agenda tersendiri yang berperanan menarik orang bukan Islam mengenali Islam. Ini satu agenda yang besar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan dalam Muktamar PAS Tahunan ke-67 di Marina Beach & Resort pada hari ini.

Menurutnya, PAS seharusnya memberi tumpuan kepada kelompok 'umur 18 tahun' dan merangka aktiviti yang sesuai untuk mereka. 

“Kadang-kadang terlepas daripada radar kawalan, kita mesti bergerak dan merancang satu program yang jelas untuk menarik mereka  memberi sokongan Islam memberi penekanan kepada anak-anak muda.

“Namun perlu kita ingat sistem demokrasi berparlimen yang berjalan dalam negara kita ini nilai undi ‘orang gila’ pun sama mahal dengan undi seorang yang waras. Maka kita perlu menarik siapa sahaja bersama-sama dengan kita,” ujar beliau.

Beliau menambah, Dewan Ulama akan sentiasa bersama-sama dengan kepimpinan utama, Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK), memperkasa dan memartabatkan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). 

“Ini adalah kancah politik yang sangat tinggi punya strategi cukup sahaja mengatakan bahawa kerja ini serahkan kepada barisan kepimpinan kita kerana sukar untuk kita baca perjalanan sebuah kapal yang dimilik oleh kita yang disebut oleh Rasullullah.

“Perumpamaan kapal yang besar jauh perjalanan berjalan jauh mungkin melepasi beberapa benua. Siapa yang tahu di dalam air sana, batu karang yang boleh menenggelamkan kapal. 

"Nakhodanya sahaja  yang tahu. Maka biarlah nakhoda kapal sahaja yang menentukan perjalanan kapal kita . Kita berjalan jauh. MN dan PN semua ini adalah perjalanan yang mesti dilalui oleh PAS,” katanya.

Justeru itu, beliau berharapa agar semua pihak memantapkan perjuangan demi mencapai satu kemenangan. 

“Kita masih berada dalam MN dan PN. Walau apa yang dilabelkan dalam negara kita perlu faham . setiap politik ada pendekatan mereka  tersendiri.

“Insya Allah PAS sebuah gerakan Islam, kita ada pendekatan kita yang berasaskan sirah dan rasul. Kita yakin Allah bersama dan suatu hari  insya allah parti kita akan menjadi parti yang besar dan kuat  di negara kita,” tegas beliau.

Ulasan