PAS Lanjutan Perjuangan Orang Terdahulu

 

Oleh : YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Selamat Ulang Tahun ke-70 buat Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Perjuangan PAS bukanlah satu kemunculan secara mendadak yang tiba-tiba, tetapi ia adalah lanjutan daripada perjuangan orang terdahulu dalam meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.

Pada 24 November 1951, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) telah ditubuhkan secara rasmi dalam satu persidangan ulama Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Diputuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah.

Semenjak itu, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan bukan Islam semenjak 1953.

Penubuhan PAS disifatkan oleh Ustaz Haji Ahmad Maliki, Setiausaha Agung PAS ketika itu sebagai bertujuan untuk “menyatukan umat Islam”. Sehingga kini PAS terus mengangkat agenda penyatuan tersebut menerusi tema yang dirasmikan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-67, “Islam Menyatukan Ummah”.

Dengan genap tujuh dekad penubuhan PAS, didoakan agar seluruh ahli dan kepimpinannya yang diterajui oleh Tuan Guru Dato’ Haji Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dapat melayari bahtera perjuangan ini dengan lebih gagah demi kelangsungan perjuangan Islam.

Semoga Allah terus memelihara bahtera ini dan memberikan kekuatan serta petunjuk kepada pemimpin kita. Juga semoga diteguhkan hati kita, ahli-ahli PAS untuk istiqamah berjuang menegakkan syariat Islam.

Ulasan