Tujuh Dekad Perjuangan PAS Membimbing Umat


Oleh Dr Riduan Mohamad Nor.

Dunia Islam akan terus merakamkan jasa serta pengorbanan harakatul ummah dalam menggalang pelbagai usaha memelihara agama Islam, berjuang tanpa lelah menegakkan pemerintahan Islam, menentang kefasadan serta mencetak kader kader dakwah bagi kesinambungan perjuangan Islam. 

Ikhwanul Muslimin yang berjasa ,kini mencapai usianya 93 tahun, Jamiat Islami yang berpengaruh di Sub Continent kini mencapai usianya 80 tahun, gerakan Islam yang lain sebahagian besarnya dipecah berantakan oleh regim penguasa. Antara gerakan yang pernah diharamkan seperti Masyumi di Indonesia, Front Islamic Salvation di Algeria, Refah di Turki serta pelbagai parti Islam yang lain.

PAS menerjang badai perjuangan dalam tempoh yang panjang, fasa perjuangan kemerdekaan Malaya, seterusnya membina kefahaman Islam rakyat yang masih dibelenggu dengan mentaliti " the blue eyes", menjadi organ besar dalam melaksanakan perubahan sikap ummat daripada skeptikal terhadap keupayaan Islam kepada rasa ghairah untuk melihat Islam didaulatkan. PAS dalam fasa kebangkitan semula Islam telah menjadi pemain utamanya, dicemburui oleh pesaing malah berdepan dengan mehnah ,ibtila' serta tribulasi yang panjang. Pemimpin serta ahlinya paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, PAS difitnah oleh hegemoni daulah dalam tempoh yang panjang sehinggalah direzekikan berkongsi kuasa pasca Februari 2020. PAS melalui suluhan ilmu para ulama yang berperanan besar dalam organisasi sehingga pernah digelar oleh pengkaji Sains Politik sebagai " parti pak lebai".

Ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada mac 1948, namun umur parti Islam pertama ini  sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. British dalam mengekang kemaraan komunisme juga sekaligus mematikan perjuangan menuntut kemerdekaan tanahair. 

Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat bermula pada tahun 1948 dengan penangkapan  massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama Hizbul Muslimin telah menyertai Biro Agama UMNO kerana hanya parti berhaluan kanan sahaja dibenarkan oleh British untuk bergerak dalam politik tanahair. Kelompok agamawan inilah yang  seterusnya telah menubuhkan Persatuan Ulama Semalaya pada 23 Ogos 1951 dan akhirnya bertukar dengan nama yang lebih inklusif iaitu Persatuan Islam se Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah berkerjasama dengan parti-parti yang lain di persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British memberikan hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Hj. Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai penganti bahasa Inggeris.

 PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan UMNO-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Begitu juga dalam isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara yang berdaulat ini. Sikap PAS ini konsisten sehingga sekarang, bahkan baru ini Timbalan Presiden PAS sebagai Menteri Alam Sekitar telah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dalam forum peringkat dunia

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usaha parti Perikatan berhubung dengan tuntutan kemerdekaan. Tokoh-tokoh utama PAS seperti Dr Burhanudin al Helmi, Prof Zulkifli Mohamad antara sosok yang sentiasa meniupkan api kesedaran kepada rakyat untuk merdeka. Bahkan Dr Burhanuddin mendekam beberapa kali dalam penjara dizaman penjajahan kerana sifat anti kolonialnya yang sangat tinggi.

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh tangan British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan semenjak awal abad 20, dipenjara dan dibuang negeri oleh penjajah British.Dr Burhanuddin Al Helmi antara pemimpin utama PAS yang keluar masuk penjara demi perjuangan kemerdekaan.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua UMNO, ke London pada bulan September 1953 untuk.menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan Raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan UMNO-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk bekerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pandaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini.


Tujuh dasawarsa bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah serta siasah bukanlah tempoh masa yang singkat. Keringat, airmata bahkan darah telah tumpah menjadi baja kepada perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Harakatul ummah ini sangat signifikan kepada usaha pemberdayaan pendidikan serta dakwah, tak pernah menyembunyikan matlamat perjuangan menegakkan pemerintahan Islam walau dibenci oleh para pembenci. Kini PAS mampu berbangga dengan menguasai tiga buah negeri serta berkongsi kuasa dengan parti yang lain diperingkat Persekutuan. Ahlinya bukan sekadar para petani serta agamawan namun kelompok professional tahap tinggi telah menjadi penggerak parti Islam ini. Insyaallah pada 12 Disember ini, PAS akan mengadakan acara sambutan tujuh dasawarsa perjuangannya di Kuala Terengganu. 

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI Pusat)

Ulasan