05 Disember 2021

Bebaskan Umat Dari Kejahilan Manusia


 Oleh Khairul Azlam Mohamad

MARANG - Penerangan PAS mengadaptasikan kisah burung sekecil ‘Ababil’ boleh mencapai kemenangan apabila ada kerjasama berpasukan bagi membebaskan umat Islam dari kejahilan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS dan pihak penerangan parti mengambil pendekatan prinsip seekor burung Ababil walaupun kecil tetapi mampu mencapai kejayaannya.

Justeru, katanya tugas dan tanggungjawab Penerangan PAS adalah membebaskan manusia daripada kejahilan umat yang telah lama dibuat oleh musuh-musuh Islam.

“Kita (PAS) akan membawa prinsip ‘Ababil’, burung ababil walaupun dia kecil, dia punya seribu satu kekurangan tetapi apabila dia bekerjasama dalam satu pasukan dan yakin dengan bantuan Allah.

“Mereka berjaya membebaskan umat dari kejahilannya, maknanya mereka berjaya menjatuhkan kerajaan ‘Abrahah’. Kerajaan Abrahah yang ada dalam negara kita sekarang ini adalah kejahilan umat.

“Tugas penerangan (PAS) sekarang adalah untuk membebaskan manusia daripada kejahilan umat yang telah dibuat oleh musuh-musuh Islam. Jadi, dia mesti ada pelbagai strategi, perkara-perkara bersifat taktikal dan juga memerlukan kepada pelaburan seperti kewangan, jentera dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian kepada Harakah selepas merasmikan Reatreat Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) Terengganu 2021, di Marang Village Resort & SPA, di Kampung Alor Tumang, Marang, hari ini.


Menurutnya, kisah burung Ababil itu dapat mengalahkan pasukan tentera bergajah yang hebat di bawah pimpinan Raja Abrahah sebagai lambang kejahilan manusia.

Ketika ditanya tentang peranan media sosial sekarang, kata Ir Khairil semua itu telah berada dalam ‘dashboard’ Penerangan PAS Pusat untuk digerakkan selepas ini.

“Dia ada media elektronik, media cetak, media sosial dan semuanya berada dalam dashboard Penerangan PAS Pusat. Kita tidak bersendiri sebab kita ada dewan-dewan.

“Kita ada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). Mereka juga ada mempunyai media sosial tersendiri dan kita telah mengenal pasti beberapa konsultan-konsultan yang mereka akan memberikan nasihat kepada kita, bagaimana kita hendak ‘empower’ media sosial kita.

“Dalam Penerangan PAS Pusat, kami melihat perlunya kita jenamakan semula Harakah, dan semua yang berada di bawah media Harakah seperti Harakahdaily, tvPAS dan HijauFM.

“Kita juga perlu ada hubungan dengan media luar iaitu dengan RTM, TV Hijrah dan kita ada rakan-rakan strategi. Kita ada BERNAMA, Astro Awani, Sinar Harian dan lain-lain.

“Hubungan kami dengan mereka cukup baik dan dia boleh memposisikan pemimpin-pemimpin kita untuk berada di kalangan rakyat, supaya rakyat dapat melihat pemimpin-pemimpin kita.

“Jadi, fokus Penerangan kita kali ini adalah bukan Ketua Penerangan tetapi untuk ‘inpower’ pimpinan-pimpinan PAS Pusat seperti AJK PAS Pusat, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat, Ketua Ulamak untuk mereka berada di media terbuka ini, supaya dapat memberikan taujihat pemikiran kepada rakyat,” tegasnya.

Selain itu, menjawab persoalan hasrat penyertaan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata Ir Khairil bahawa hubungan PAS dengan rakan-rakan kerjasama dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) cukup baik.

Katanya, hasrat PAS bagi menyertai pilihan raya di Sarawak hanya bersifat taktikal, berstrategi serta mempunyai kebaikkan disebaliknya.

“Hubungan kita (PAS) dengan GPS baik, dengan Perikatan Nasional (PN) pun baik dan tindakan kita bersifat taktikal. Biar kami selesaikan dengan pemimpin-pemimpin atasan, tetapi sejujurnya saya katakan, kita (PAS) meletakkan calon di PRN Sarawak adalah suatu tindakan bersifat strategi dan ada kebaikkan disebaliknya,” ujar mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi KAMI, Naraza Muda, Bendahari KAMI, Nazmi Ghazali serta 20 peserta KAMI negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Hizbullah Dan Sekutunya Kalah

Hizbullah yang disokong Iran dan sekutunya telah kehilangan majoriti mereka di parlimen Lubnan selepas keputusan pilihan raya umum negara it...