23 Disember 2021

Khidmat Malaysia Terus Komited Membantu Tangani Bencana Banjir


Alhamdulillah, Pusat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (KHIDMAT MALAYSIA) telah berjaya menguruskan jentera dan petugas bagi membantu mangsa bencana banjir yang sedang berlaku khususnya di negeri Selangor dan Pahang.

Melalui pengurusan pentadbiran di Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia yang beroperasi di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pemantauan secara 24 jam telah dilaksanakan bagi menguruskan dan mengemaskini info bencana banjir melalui media sosial (medsos), menerima aduan kecemasan daripada mangsa bencana untuk diberikan bantuan atau disampaikan kepada yg berkenaan, menyusun petugas dan sukarelawan ke lapangan dan menyusun bantuan dari pihak luar seperti NGO dan orang-perseorangan ke lokasi bencana.

Pengerusi Khidmat Malaysia, YB Dato' Hajjah Siti Zailah binti Mohd Yusoff telah mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 20 Disember 2021 bagi membuat pengarahan kepada Khidmat Malaysia di setiap negeri untuk segera mengambil tindakan bagi membantu operasi banjir di negeri yang teruk terjejas. 

Dato' Hajjah Siti Zailah yang juga merupakan Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga telah membina kerjasama dengan agensi kerajaan seperti NADMA dan KPWKM bagi menyalurkan bantuan tenaga sukarelawan kepada negeri yang terlibat dengan bencana banjir ini.

Khidmat Malaysia telah menyusun pengagihan bantuan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Pertama ke negeri Selangor yang melibatkan Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala kumpulan Kedua yang melibatkan zon Pantai Timur iaitu negeri Kelantan dan Terengganu akan membantu negeri Pahang yang turut terjejas teruk ketika ini.

Sehingga pukul 6.00 pagi tadi, Khidmat Malaysia telah menerima petugas dan sukarelawan daripada daripada seluruh negara.  Ini tidak termasuk petugas dan sukarelawan daripada Selangor yang telah lebih dari 1000 orang telah pun turun sejak berlakunya bencana banjir ini. 

Antara yang telah tiba di lokasi adalah petugas dari Khidmat Malaysia negeri Johor seramai 100 orang anggota termasuk 10 buah 'water jet' yang diketuai oleh En. Iqbal Ghani bin Ismail, Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Johor.  

Khidmat Malaysia Kedah yang diketuai oleh Menteri Besar Negeri Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md. Nor telah menghantar tujuh kenderaan pacuan empat roda (4X4) semalam berbentuk bantuan kit makanan dan kit ibadah. Manakala Misi Bantuan Fasa Kedua Khidmat Malaysia Kedah pada 25 Disember dengan 30 kenderaan 4×4 dan akan menghantar pelbagai bentuk bantuan. YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi turut dijadualkan akan ke beberapa lokasi dalam masa terdekat.

Negeri Kelantan menghantar menghantar Misi-Perdana ke negeri Pahang seramai 1500 orang bersama bantuan sumbangan makanan dan keperluan diri. Kumpulan pertama yang bergerak ke negeri Pahang adalah dari JAM kawasan Kubang Krian. 

Menurut YB Dato' Hajah Mumtaz binti Haji Md Nawi, Ahli Lembaga Pengarah Khidmat Malaysia Pusat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, semua petugas daripada Kelantan akan turun secara berperingkat ke negeri Pahang seperti mana yang diarahkan. Beliau turut memberikan komitmen untuk membantu negeri-negeri lain dalam menangani bencana banjir ini.

Khidmat Malaysia Negeri Terengganu menghantar seramai 800 orang sukarelawan untuk membantu negeri Pahang bermula hari Khamis ini selama tiga hari. Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, YB Haji Hanafiah bin Mat merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri Terengganu memaklumkan bahawa seramai 1000 orang sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan turut akan turun ke negeri Pahang pada minggu yang seterusnya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank : 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana banjir yang terlibat. 

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

22 Disember 2021


Tiada ulasan:

Rasulullah Model Guru Unggul

KUALA TERENGGANU - Nabi Muhammad, Rasulullah SAW menjadi model contoh guru paling unggul di dunia kerana menyelamatkan manusia dari kegelapa...