Terengganu Tuan Rumah Sambutan 70 Tahun PAS


Oleh : Nooreni Abu Bakar 

KUALA TERENGGANU - Negeri Terengganu telah dipilih sebagai tuan rumah Sambutan  70  Tahun  Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang akan diadakan secara besar-besaran dengan pelbagai acara-acara menarik.

Pengarah Sambutan, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata program akan diadakan pada 12 Disember 2021 bertempat di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu bermula 2.30 petang dan berakhir pada 6.30 petang.

"Dewan-dewan yang terdiri daripada  Dewan Ulama, Pemuda, Muslimat, Sabiqun dan juga Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) terlebih dahulu akan mengadakan program mereka yang berasingan pada hari yang berbeza dan waktu yang berbeza," katanya.

Beliau yang Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT) berkata demikian di Sidang Media  Sambutan 70 Tahun PAS di pejabat BPPNT di sini pada Rabu 8 Disember. 

Menurut Wan Sukairi  Dewan Ulama PAS Malaysia(DUPM) akan mengadakan suatu Munajat Perdana pada 11 Disember bertempat di Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu yang akan dimulakan dengan sembahyang fardhu maghrib secara berjemaah. 

"Diikuti dengan satu Tazkirah Perdana yang akan disampaikan oleh Ketua nya, Dato' Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh Salleh.

"Selepas itu akan diadakan Solat Hajat, Munajat  dan juga Kuliah Perdana yang akan disiarkan secara 'live'(langsung) ke seluruh negara insya-Allah.

Katanya, acara itu juga akan turut diadakan di tempat-tempat yang berbeza bukan sahaja di seluruh negeri Terengganu bahkan di seluruh negara.

"Insyaallah pada keesokan harinya, 12 Disember, Dewan Ulama akan mengadakan Program Himpunan Tuan-Tuan Guru Malaysia   di Kompleks Tarbiyah Darul Al Taqwa(KOMTAQ), Kuala Nerus, bermula 8.00 pagi sehingga  12.45 tengah hari," ujarnya. 

Mengulas lanjut, katanya program tersebut akan membariskan kepimpinan-kepimpinan Dewan Ulama Negeri Terengganu dan juga Malaysia serta menghimpunkan seramai 300 orang  Tuan-Tuan  Guru daripada seluruh negara. 

"Sementara Dewan pemuda PAS Malaysia pula akan mengadakan program sempena 70 tahun lepas sehari awal ialah pada hari Sabtu 11 Disember bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu. 

" Pelbagai acara akan diadakan antaranya 'Monsoon Ride', Liga Penalti, Pertandingan Pidato, Pameran '4 by 4' dan juga konvoi bermotor. 

Manakala di sebelah malam, tambahnya lagi akan diadakan  Malam Kesenian Islam, 'Talk Show', nasyid dan cabutan bertuah. 

"Dan pada keesokan hari, 12 Disember pihak Pemuda akan mengadakan Program Konvoi Bermotor mengiringi Yang Berhormat(YB) Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS ke tapak program di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam,  konvoi bermotor ini yang terdiri daripada 70 buah motor berkuasa tinggi, " ujarnya lagi. 

Katanya,  Dewan muslimat juga turut mengadakan program yang sama pada 12 Disember  yang  bertempat di hotel Primula Beach Resort Kuala Terengganu yang melibatkan 300 orang peserta. 

"Begitu juga program yang melibatkan As-Sabiqun juga akan diadakan pada 12. 12. 2021 bertempat di Muzium Negeri Terengganu, Kampung Losong yang diadakan di antara jam 8.30 pagi sehingga 12. 30 tengah hari. 

Sementara itu, jelasnya DHPP juga akan mengadakan program pada 12 Disember di antara jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari bertempat di Sumai Hotel, Kuala Terengganu. 

"Dan forum akan diadakan, 'Kenalilah DHPP Malaysia' disamping beberapa program berkaitan DHPP akan diadakan pada sebelah pagi 12 Disember," katanya. 

Katanya, acara kemuncak Sambutan 70 PAS akan diadakan pada 12 Disember bermula jam 2.00 petang hingga 6.00 petang bertempat di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

"Di antara program yang akan dipenuhi adalah ucapan daripada Yang Berhormat Datuk Seri Setiausaha Agong, ucapan daripada semua Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS negeri-negeri, ucapan daripada tiga orang YAB(Yang Amat Berhormat) Menteri Besar, iaitu Menteri Besar Terengganu Kelantan dan juga Kedah. 


"Seterusnya ucapan daripada wakil Sidang  As-Sabiqun dan juga ucapan daripada tokoh-tokoh Istiqamah seramai lima orang 'Tokoh Istiqamah' akan dipilih dan akan menerima Anugerah tersebut," jelasnya. 

Menurutnya, satu persembahan sketsa ataupun pentomen yang menceritakan tentang keadaan ataupun tentang sejarah perjuangan PAS selama 70 tahun akan dipersembahkan oleh Kumpulan Pentomen  Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan. 

"Acara ikrar juga akan diadakan yang menampilkan   Datuk Seri Setiausaha Agong yang akan membaca ikrar diikuti oleh setiausaha-setiausaha Dewan-Dewan. 

"Dan acara kemuncak adalah ucapan oleh YB Datuk Seri Timbalan Presiden PAS dan kemuncaknya adalah ucapan yang disampaikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS. 

"Jadi itulah  acara-acara pengisian-pengisian yang akan diadakan sempena dengan sambutan 70 tahun, jadi saya menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk mengikuti secara 'live' nanti," katanya yang turut mengalu-alukan kehadiran peserta - peserta yang telah menerima undangan ke majlis sambutan tersebut.

Ulasan