Tujuh Dekad 'Membumikan' Gerak Kerja Kebajikan


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS telah melepasi 70 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini.

Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, malah menempa nama di persada antarangsa. Harakatul ummah ini sinonim dengan gerakerja kebajikan, singgah didalam hati masyarakat melalui kebajikan yang bersalut gerakerja dakwah. Sosok pimpinan PAS sentiasa berada dilapangan kebajikan, menyantuni masyarakat tanpa menunggu tempoh pilihanraya  ataupun menjadi pelakon sinetron khas apabila adanya pemilihan parti mahu pun pilihanraya.

Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap daripada pra sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.  PAS dengan  lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam. Dimana-mana sahaja amilin PAS akan muncul jika ada bencana alam atau pun tragedi, bukan sahaja didalam negara ini malah juga mengucur keringat diluar negara.

Mengapa PAS terus relevan kepada masyarakat jembel walaupun telah mencecah tujuh  dekad umurnya?. Jawaban yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan, rakyat tersentuh dengan petugas PAS saat mereka dalam kesusahan. PAS saat menang atau kalah, terus mengarusperdanakan gerakerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul disaat kepayahan dan kejerihan.

Pimpinan serta amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli ummat.

PAS melalui sarana  kebajikan memikul tangggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, penggangguran yang melata, krisis ekonomi akibat kesan pandemik kovid 19. Malah harakatul ummah ini sejak dekad 60an lagi telah mempunyai mekanisme untuk membantu umat, diperingkat ranting ( Kini dipanggil cawangan) , tabung kebajikan bersifat " one off " diwujudkan bagi membantu ahli jemaah yang memerlukan. Merangkumi pengurusan jenazah untuk ahli , tabung pendidikan tinggi untuk anak- anak ahli belajar diperingkat pengajian tinggi. Tak sedikit anak-anak ahli PAS belajar di negara luar dengan tabungan kebajikan PAS diperingkat ranting ini ,contohnya ke Mesir, India, Mekah dan sebagainya.

Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerakerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu, asatizah PAS menguasai masjid, surau, pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi pengupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.

PAS telah jauh meninggalkan gerakan Islam antarabangsa yang lain, berdepan dengan pasang surut perjuangan, perpecahan dalaman, dimatangkan dengan mehnah sepanjang hampir tujuh dekad berjuang. PAS membias sinarnya kepada rakyat melalui kerja kebajikan, begitu juga gerakan Islam antarabangsa yang menonjol dalam gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan. Jamiat Islami contohnya, mempunyai pelbagai jaringan sivil untuk menebarkan kepedulian dan gerakerja kebajikan, antaranya PIMA, Pasban, Masjid mision dan lain-lain lagi.

Gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin walaupun mengalami kekangan yang hebat, juga bergerak melalui jaringan sivil, menggerakkan NGO dalam pelbagai tugasan. Pertubuhan Milli Guruz yang diasaskan oleh almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan dengan pelbagai NGO kebajikan membantu ummat di peta luka umat Islam di benua Afrika, Sub continent juga membantu umat Islam di benua Eropah.

PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu kebajikan rakyat. Contohnya ,dalam minggu ini rakyat Malaysia gelisah dengan kenaikan harga barang yang melampau, duka bertindih rakyat menyebabkan suhu politik membahang panas. Ratusan NGO kolaborasi PAS wajar memikirkan mekanisme membantu rakyat dilapangan,manakala PAS sebagai rakan pemuafakatan politik dalam pentadbiran Persekutuan boleh memberikan idea serta solusi untuk memastikan harga barangan keperluan dapat dikawal oleh pihak kerajaan.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan