Tujuh Dekad PAS Cetak Kepimpinan Berhidayah


MARANG - Dewan Ulama merupakan sayap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang paling penting dengan terbukti telah mencetak kepimpinan berhidayah sepanjang 70 tahun tertubuhnya PAS. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat , Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, atas prinsip kepimpinan berhidayah inilah yang menjadikan parti itu bebas dari sebarang kes mahkamah.

Menurut beliau, tiada satu silap pun yang boleh mengheret kepimpinan PAS daripada dulu sampai sekarang ke mahkamah kerana salah laku dan sebagainya.

"Ia kerana selain kita menggunakan kebijakan akal dengan kita bersama teknokrat yang membantu kita, kita bergantung kepada Allah SWT.

"Arwah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pernah berkata, demikianlah peranan perjuangan PAS ini kita nak lahirkan kepimpinan yang diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT.

"Sehingga kini, itula peranan perjuangan PAS, kita nak melahirkan kepimpinan berhidayah khususnya melalui Dewan Ulama," katanya. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana bersempena Ulang Tahun 70 Tahun PAS di Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau turut berkongsi bahawa Tok Guru Nik Aziz yang juga bekas Ketua Dewan Ulama, hanya tiga malam sahaja Tok Guru tidak bangun solat tahajjud.

Ujar beliau, ini menunjukkan betapa mereka yang istiqamah melakukan amalan sunat begini akan dijaga oleh Allah SWT.

"Inilah kepimpinan yang mentadbir Kelantan selama 23 tahun dalam keadaan tiada silap dan salah yang membolehkan diheret ke mahkamah.

"Bahkan dari dulu sehingga sekarang, kepimpinan PAS ini boleh mencabar jika sekiranya ada salah, datang tangkap bawa ke mahkamah. Alhamdulillah tiada.

"Kita bukan nak mendabik dada. Tetapi kerana apa? Kerana kita mencetak kepimpinan berhidayah. Prinsip perjuangan PAS adalah kepimpinan yang diberi petunjuk daripada Allah SWT," tegasnya. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Ketua Ulama PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Sallehd an Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Ulasan