Kerajaan PAS Terengganu Turunkan Kadar Pengangguran


KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS negeri Terengganu telah berjaya menurunkan kadar pengangguran pada tahun 2019 dan mengekalkan pasaran buruh yang kompetitif pada tahun 2020.

Sejak 2012, kadar pengangguran di Terengganu menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 2.9% kepada 3.4% (2013), 4.1% (2014), 4.0% (2015), 4.2% (2016), 4.5% (2017) dan 4.8% (2018).

Timbalan Yang DiPertua PAS Besut, YB Hj Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, melihat kepada trend yang membimbangkan itu, PAS Terengganu mengemukakan tawaran menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal pentadbiran, menjelang PRU14 lalu.

“kita telah menubuhkan THRDC (Terengganu Human Resource Development Centre). Antara perkara pertama yang dilakukan oleh THRDC adalah membentuk kolaborasi erat antara agensi dan jabatan kerajaan serta industri.

“Alhamdulillah, setelah lebih 18 bulan mengambil alih kerajaan, dengan wujudnya THRDC dan dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 3.5% pada 2019 iaitu menghampiri kadar nasional 3.3%.” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam.

Dalam masa yang sama, kata beliau, THRDC telah mengadakan kerjasama erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan seperti PERKESO dan Jabatan Perangkaan Negara bagi berkongsi data-data yang lebih bermaklumat untuk kegunaan negeri.

“Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di negeri ini masih terkawal pada kadar 4.1% pada 2020 dan antara 3.7% hingga 4.4% pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021.

“Kadar ini adalah lebih baik daripada yang direkodkan di peringkat nasional iaitu 4.6% pada 2020 dan antara 4.7% hingga 4.8% pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021.

“Statistik kehilangan pekerjaan di negeri ini bagi tempoh Mac 2020 hingga September 2021 juga berada di kedudukan keempat terendah iaitu seramai 1,547 orang daripada keseluruhan 136,374 orang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” tambah beliau.

Justeru katanya, data-data ini beliau kongsikan memberikan gambaran umum mengenai tahap ‘kesihatan’ pasaran buruh di negeri Terengganu sejak beberapa tahun lalu sehingga sekarang.

Ulasan