Peranan Ibu Bapa Penting Didik Anak -Anak Tentang Dunia Politik


 Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU-Penglibatan ibu bapa mendidik anak-anak berkaitan arena politik di usia remaja amat penting di mana penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun kini berkuatkuasa.

Ketua Muslimat PAS Pusat, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata golongan belia perlu lebih bersedia dan mengambil tahu berkaitan dengan politik semasa negara.

"Kita nak mendidik pengundi-pengundi muda tentang politik negara. Kena ada bantuan. Kita sebenarnya tak boleh mendidik mereka semata-mata. Ibu bapa juga sebenarnya mesti difahamkan. 

"Sebab mereka lebih dekat, banyak masa dan ibu bapa kena fahamkan mereka tentang tanggungjawab terhadap kematangan anak-anak belia terhadap politik negara," ujarnya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Urus Setia Wanita Terengganu, di Dataran Alamanda, Jalan Sulaiman, di sini, hari ini.


Katanya, pelbagai usaha intensif PAS Pusat untuk menangani undi 18 yang mana ramai tidak tahu kecenderungan politik bagi mereka mengundi PAS.

Antaranya kata Ustazah Nuridah, PAS membuat wacana untuk lebih memahamkan apa yang patut dilakukan.

"Kita telah  mengikuti wacana yang dibuat oleh PAS Pusat sendiri dan peringkat Muslimat PAS Pusat ada cadangan dan program yang sepatutnya kita buat.

"Antaranya ialah untuk kita lebih aktif dalam media sosial sebab nampak gaya orang muda dekat dengan media sosial," jelasnya.


Justeru itu, katanya pelbagai program diadakan bagi mendekatkan diri  mereka sebab utama belia Melayu tidak berapa endah tentang politik.

"Hatta kalau kita tunjuk pun ini Menteri apa? mereka pun tak kenal. Alhamdulillah, Perdana Menteri dia orang kenal, yang lain-lain mereka tak kenal," tegasnya.

Ulasan