Siasat Bagaimana Umrah Tanpa Divaksin


Sekian lama rakyat Malaysia tidak dapat menjejakkan kaki ke Mekah, siapa yang tidak terkilan mendengar berita antara punca peningkatan varian Omicron di Malaysia adalah melalui Jemaah umrah yang tidak menerima suntikan vaksin. 

Walhal, semua sedia maklum bahawa hanya mereka yang divaksin saja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan menunaikan umrah. 

Apabila sudah diberi kesempatan, janganlah mengambil mudah kelonggaran yang telah diberikan. 

Saya sangat menyokong tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sedang menyiasat individu dan agensi pelancongan yang terlibat untuk mengenal pasti bagaimanakah mereka ini boleh mengerjakan umrah tanpa divaksin.

Manakan tidak, daripada 1842 kes positif yang dikesan di KLIA pada minggu terakhir 2021, 1558 kes (85%) adalah mereka yang pulang dari Arab Saudi. Kalau dibandingkan dengan jumlah kedua tertinggi iaitu mereka yang pulang dari Turki, hanya terdapat 84 kes positif. 

Perbuatan begini dilihat sangat mementingkan diri. Apabila berlaku ketidakpatuhan SOP, kita terpaksa menangguh sementara kebenaran mengerjakan umrah kerana menjaga kemaslahatan awam. Takkan Kerajaan mahu biarkan sahaja kes kembali meningkat dan membahayakan nyawa pihak yang tidak berdosa?

Ingin saya kongsikan kisah Umar bin al-Khattab R.A, apabila beliau melihat seorang perempuan yang dijangkiti kusta mengerjakan tawaf di Baitullah, beliau berkata:

يَا أمَةَ الله، اقْعُدِي فِى بَيتِكِ وَلَا تُؤذِي النَّاس

Maksudnya: Wahai hamba Allah, duduklah kamu di rumah kamu dan janganlah kamu menyakiti orang ramai.” [Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/413].

Penangguhan umrah adalah keputusan yang perlu kita buat sebelum situasi menjadi lebih teruk. Bahkan, kerajaan Arab Saudi juga turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan kembali melaksanakan solat secara penjarakan fizikal di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kerana peningkatan kes jangkitan di negara tersebut.

Dalam situasi begini, marilah kita berdoa agar Allah permudahkan segala urusan kita untuk segera melaksanakan syiar-Nya dengan sempurna. Mari juga kita sama-sama berdoa agar tahun ini ialah tahun yang Allah angkat dan hapuskan bala ini. Aamin.


Catatan Jumaat 278

YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary

4 Jamadilakhir 1443H / 7 Januari 2022

Ulasan