Hentikan Segera Provokasi Isu Agama

 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemimpin DAP P. Ramasamy yang cuba mempertikaikan status agama tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong yang berlaku di negeri Perlis. 

Tindakan berbaur provokatif itu bukan sahaja cuba mempertikai peranan serta bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri Perlis, malah boleh mengancam keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.

Selain itu, dakwaan beliau bahawa pihak berkuasa agama Perlis 'menculik dan menukar agama' anak-anak tersebut adalah amat bahaya dan berniat jahat.

Justeru, PAS menggesa semua pihak agar menghormati badan kehakiman dan pihak berkuasa undang-undang, serta meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikan isu ini.

PAS juga menggesa pihak berkuasa supaya sentiasa memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja menimbulkan isu-isu agama dan perkauman di negara ini.


ISLAM MENYATUKAN UMMAH

SENATOR Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Ketua Penerangan PAS Pusat

Ulasan