Dapur Rakyat Bantu Mangsa Banjir

 


Oleh: Ahmad Mawardi

KUALA TERENGGANU - Muslimat PAS DUN Manir dengan kerjasama Pemuda dan Ameerah berpadu tenaga menggerakkan misi bantuan banjir Hulu Terengganu dengan menyediakan makanan, ‘Dapur Rakyat’, bermula Ahad lalu.

Ketua Muslimatnya Ustazah Norhayati Mohd berkata, perkara ini timbul kerana niat semata-mata atas rasa simpati ingin membantu mereka yang terlibat seperti mangsa-mangsa dan petugas sukarelawan banjir.

"Kita sediakan 3000 pek makanan setiap hari oleh pasukan dapur rakyat kepada yang terlibat bermula dari menu makan sarapan, tengahari dan malam.

"InsyaAllah, dengan adanya khidmat tukang masak tempatan dan beberapa ahli jawatankuasa Dewan Muslimat Hulu, DUN dan Cawangan. Kita telah cuba sediakan 1000 pek makanan sekali untuk pagi, tengahari dan sekali lagi untuk malam," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika proses pembungkusan makanan di Dewan Makan Komplek Al-Kawthar Kubang Lembek Manir, pada Selasa 1 Mac.


Turut hadir sama ialah Isteri ADUN Manir, Ustazah Rohayati Nordin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Hulu Terengganu Ustazah Norzila Muhammad.

Dalam pada itu, tambah beliau lagi, khidmat Dapur Rakyat antara bantuan yang sangat membantu semasa pemulihan bencana seperti banjir yang agak teruk pada kali ini.

"Kami turut mengagihkan bekalan makanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan SK Teluk Menara hampir 100 mangsa banjir disekitar Manir yang berakhir hari ini," ujar beliau lagi.

Ulasan