07 April 2022

Generasi Tauhid Penyambung Pahala


Oleh : Sofeah Ali

KUALA NERUS - Setiap keluarga mestilah bercita-cita untuk melahirkan anak-anak yang menjadi generasi tauhid agar mereka dapat menyambung pahala untuk kedua ibubapa.

Ketua Lajnah Dakwah Pemuda PAS DUN Tepoh, Ustaz Amir Syakirin Mazlan berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, sembilan ciri keluarga Ulul Albab mestilah dipraktikkan.

"Sembilan ciri keluarga Ulul Albab berdasarkan surah Ar Ra'd antaranya ialah tidak mungkir janji, takut kepada Allah,Sabar kerana Allah serta menolak segala kejahatan dan keburukan dengan kebaikan. 

"Hendak melihat keluarga itu baik atau tidak bukan lihat pada material atau bahagianya tetapi dilihat melalui amalan mereka," katanya lagi.

Beliau yang mewakili Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Tadarus AlQuran Peringkat Muslimat Kuala Nerus di Masjid Jamek Gong Pak Jin, di sini pada 3 Mac lalu. 


Program yang bermula pukul 8.30 pagi sehingga 11.30 itu telah menyaksikan kehadiran seramai lebih 100 orang muslimat.

Manakala Ketua Muslimat Kawasan Kuala Nerus ,Tuan Roslina Tuan Sulaiman  berkata, Al-Quran  bukan sekadar untuk dibaca tetapi kitab suci itu mesti difahami bahkan mesti diamalkan .

"Di bulan Ramadan juga hendaklah kita panjangkan pertemuan untuk kerja-kerja kebaikan hanya kerana Allah,

" dengan apa yang kita ada, tenaga mahupun harta, infaklah sebelum kita dijemput oleh Allah," ujarnya. 

Timbalan Ketua Muslimat PAS Terengganu itu juga turut memberitahu Muslimat Kuala Nerus turut menganjurkan Program Infak Lailatul Qadar. 

" Supaya seluruh muslimat Kuala Nerus dapat ganjaran infak pada malam Lailatur Qadar, caranya ialah bermula dari sekarang menabung sendiri kemudian serahkan kepada Lajnah Tarbiyah," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan:

Hizbullah Dan Sekutunya Kalah

Hizbullah yang disokong Iran dan sekutunya telah kehilangan majoriti mereka di parlimen Lubnan selepas keputusan pilihan raya umum negara it...