PAS Kuala Nerus Terima Sumbangan Arwah 'Kailo'

 


KUALA TERENGGANU - PAS Kawasan Kuala Nerus menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM17,000 daripada waris Almarhum Mohd Khairul Nizam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kailo.

Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang berkata, sumbangan tersebut merupakan wasiat Almarhum yang tercatat pada sebuah buku di rumahnya supaya mewakafkan satu pertiga daripada harta peninggalannya kepada perjuangan Islam (PAS).

"Semasa hayatnya, Almarhum telah mengorbankan banyak tenaga, masa dan bahkan wang ringgit juga untuk perjuangan Islam yang didukunginya. 

"Setelah kematiannya, rupanya ada wasiat yang ditinggalkan agar diwakafkan satu pertiga hartanya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, pada semalam.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan atas nama wakaf peribadi Almarhum Khairul Nizam Abdullah yang telah diwakili oleh adiknya Mohd Alimi Abdullah.

"Ini diharapkan menjadi contoh yang baik untuk para pejuang untuk sepanjang masa memberikan pengorbanan kepada perjuangan, bukan sahaja semasa hidupnya, bahkan selepas kematiannya.

"Semoga ia menjadi jariah yang pahalanya berpanjangan walaupun setelah mati," ujar Ustaz Zakaria.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus Cikgu M. Shukrimun Shamsudin, di Pejabat PAS Kawasan Kuala Nerus di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, Kuala Nerus  baru-baru ini.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga Almarhum kerana menyempurnakan wasiat itu dan mendoakan semoga ia menjadi jariah kepada Almarhum," kata Shukrimun.

Beliau menambah, almarhum Kailo telah meninggal dunia empat tahun lalu dan merupakan petugas media PAS di DUN Seberang Takir serta terlibat dengan Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI).

Selain itu, Almarhum sangat aktif dalam PAS terutama dalam bidang penulisan dan media.

Ulasan