Tak Perlu Layan ' Surat Layang'


MARANG - PAS tidak perlu layan dan membuat penafian berhubung dokumen kononnya pendedahan 'PASleak' yang disifatkan hanya sekadar satu 'surat layang'.

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tidak perlu  melayan perkara berkenaan kerana ia ada implikasi undang-undang.

"Tak perlu saya nafi, itu (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dah buat,

"Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita dok layan (melayan) surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kuliah mingguannya di masjid Rusila, Marang semalam.

Tambahnya, hanya "loyar buruk" saja yang melayan surat layang.

“Saya rasa hanya yang loyar buruk sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat.

"Cuma dia (penyebar surat) tanggung lah (jawablah) dengan Tuhan, kita orang Islam percayakan, bulan puasa pula," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa dokuman didakwa sebagai minit mesyuarat PAS yang merancang untuk menjatuhkan Umno dan BN.

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 20 April  menyifatkannya sebagai 'sampah'.

Ulasan