Jangan Lupa Penderitaan Palestin


Saya merujuk kepada beberapa berita terutamanya dari portal berita AlJazeera tentang penindasan yang masih berterusan dari rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Umum mengetahui berita tentang Palestin di dada-dada akhbar sudah sebati dengan kisah kezaliman pihak kerajaan Israel yang tidak berkesudahan.  

2. Terkini, pada 3 hari lepas dilaporkan bahawa berlakunya tindakan memusnahkan kediaman rakyat Palestin di Tebing Barat oleh rejim Zionis. Tindakan ini dijustifikasikan untuk bertindak balas terhadap pemilik rumah tersebut yang menentang kegiatan rampasan tanah secara haram oleh rakyat Israel di Tebing Barat. 

3. Rakyat Palestin yang telah menetap di Tebing Barat dan Gaza sejak berdekad-dekad telah kehilangan hak mendiami di tanah sendiri dan hanya mampu melihat tanah tersebut dirampas oleh pihak luar. Segala prosedur dan proses melalui undang-undang berkaitan pengambilan tanah dibuat mengikut undang-undang rimba.  Sesungguhnya ketidakadilan ini berlarutan sejak sekian lama dan menyebabkan saiz fizikal negara Palestin mengecil sejak pada tahun 1969. 

4. Selain isu pengambilan tanah secara haram, penindasan melalui tindakan serangan ke Masjid Al Aqsa masih lagi berterusan termasuklah pada bulan Ramadhan baru-baru ini. Pada akhir bulan lepas, pihak polis rejim Zionis ini melakukan serangan ke dalam masjid ini di kala umat Islam tengah bersiap untuk menunaikan solat Subuh. Serangan ini menyebabkan lebih kurang 30 orang warga Palestin mengalami kecederaan. Ini adalah siri terbaru daripada siri-siri serangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel setiap masa di bumi Palestin.

5. Malangnya, pada waktu ini, negara-negara Islam sebanyak 57 buah di bawah payung Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam atau OIC tidak banyak membantu dalam membantu saudara-mara kita di bumi Al-Quds ini. Walaupun rejim Zionis terang-terangan melakukan kesalahan jenayah kemanusiaan di sisi undang-undang antarabangsa, tiada sekatan mahupun hukuman dikenakan terhadap negara haram ini. 

6. Oleh itu, mengambil semangat persaudaraan di bulan Syawal ini, saya berharap rakyat Malaysia tidak berhenti bersolidariti, berdoa dan meneruskan usaha dalam memberi bantuan melalui segala saluran rasmi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Palestin. Semoga usaha bersama kita ini diganjari pahala di akhirat nanti. 

' Islam Memperkukuh Perpaduan'


YB Senator Dato’ Haji Husain Awang

Pesuruhjaya PAS Terengganu

Ahli Dewan Negara


https://harakahdaily.net/index.php/2022/05/11/jangan-lupa-terhadap-penderitaan-palestin/

Ulasan