PAS Sambut Baik Saranan Majlis Pemulihan Negara


PAS menyambut baik syor-syor Majlis Pemulihan Negara yang antaranya mencadangkan agar Malaysia perlu kembali sebagai sebuah negara pertanian bagi mengatasi krisis bekalan makanan yang dihadapi negara ketika ini.

Sebagaimana buat masa ini PAS bersetuju bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan industri pertanian dan input kepada makanan ternakan dalam memastikan kedaulatan makanan lebih terjamin dalam mendepani ketidaktentuan pasaran luar.

PAS dalam menerajui negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu khususnya sentiasa mendokong serta menyokong penuh usaha untuk mendaulatkan makanan daripada kebergantungan negara kepada pengimportan hasil pertanian dan makanan ternakan. Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan PAS telah merangka Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPNT) 2019-2023 yang merangkumi pelbagai insentif bagi mengutamakan pengeluaran untuk pasaran tempatan serta hak dalam melindungi dan mengawal pengeluaran pertanian dan ternakan negeri. Peruntukan RM 7.3 juta juga telah disalurkan kepada sektor pertanian menerusi belanjawan negeri Terengganu 2022. Malahan di Terengganu, Daerah Setiu dijadikan sebagai Daerah “Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu”

Begitu juga dengan kerajaan kelantan yang melancarkan Dasar Pertanian Negeri Kelantan dan Pelan Tindakan Strategik Pertanian Negeri Kelantan 2021 -2025.

Ini menjadi bukti komitmen PAS dalam memastikan sekuriti bekalan makanan negara.

Justeru, PAS yakin dengan cadangan Penambahbaikan Sekuriti Makananan dan Proses Pemulihan Sektor Pertanian akan dapat mengukuhkan lagi fokus Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan sosial, ekonomi dan kehidupan rakyat jelata.


Yb Dr. Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat/ Exco Terengganu

Bertarikh: 16 Jun 2022.

Ulasan