Ringkasan Ucapan Dasar Presiden PAS Muktamar Ke-68

 

1. Kejayaan PAS - Peranan PAS Dalam Pemulihan Pasca-Pandemik

PAS sebahagian daripada Kerajaan Malaysia dan juga sebahagian daripada kerajaan di negeri-negeri tertentu, serta menerajui tiga negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah, telah memperolehi pengalaman yang sangat berharga dalam menghadapi wabak yang tidak pernah dihadapi oleh negara sejak mencapai kemerdekaan.

Pimpinan PAS yang diberikan amanah dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah memainkan peranan yang cemerlang, sesuai dengan portfolio masing-masing ketika negara berperang dengan COVID-19. 

Pencapaian PAS di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, membuktikan bahawa tanggapan PAS tidak mampu untuk berperanan sebagai kerajaan adalah meleset sama sekali.

2. Tanggungjawab Memenuhi Harapan Rakyat

Memulihkan semula ekonomi negara dan membina kembali kehidupan rakyat perlu diberi keutamaan buat masa ini. Rakyat sedang berjuang untuk membina kembali kehidupan mereka setelah terjejas teruk semasa musim Pandemik COVID-19.

PAS yakin rakyat Malaysia adalah rakyat yang peduli politik dan bersedia untuk turun mengundi dalam PRU-15, namun mungkin politik bukanlah keutamaan mereka buat tempoh ini. 

Ini dapat dilihat daripada kemerosotan peratus keluar mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, disebabkan fokus rakyat ketika itu adalah membina semulakehidupan mereka, bukan kerana tidak peduli politik.

Parti-parti politik seharusnya mengurangkan suhu politiking sesama mereka, sebaliknya memberi tumpuan untuk usahamembangunkan semula negara.

PAS yakin pengundi-pengundi baru mahukan sebuah amalan berpolitik yang Berintegriti, Berprinsip, Mengutamakan Rakyat dan Membawa Keharmonian. 

3. Memimpin Usaha Penyatuan Ummah

PAS menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad. 

Pada masa yang sama, PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam. 

Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam. 

Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan. 

Jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan. 

Namun, PAS tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf.

Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus, kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun  (kerjasama) yang salah dan berdosa.

4. Menguasai Pengundi Anak Muda

Faktor kritikal kemenangan PAS dalam PRU-15 ialah sejauh mana jentera pilihan raya berupaya untuk menguasai sikap pengundi muda yang sebahagian besarnya merupakan pengundi pertama kali (first time voter) yang dikatakan tidak berminat dengan isu-isu politik.

Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat.

Kejahilan akibat kesan daripada serangan pemikiran melalui pendidikan dan media sangat mendalam, khususnya terkini oleh media sosial yang dirancang dengan perbelanjaan yang besar. Maka perlu ditangani dengan kesungguhan dan berhikmah.

Bagi menghadapi faktor kritikal ini, jentera pilihan raya hendaklah berupaya menguasai maklumat anak muda dengan menguruskan maklumat melalui Bilik Operasi Bersepadu, dan memaksimumkan keupayaan kempen media baharu bagi menyantuni mereka. 

Pemuda dan Muslimat PAS perlu bergerak secara kreatif dan inklusif bagi menarik sokongan anak muda dan wanita yang akan menjadi ‘undi penentu’ dalam PRU-15.

5. Persediaan Jentera Pilihan Raya Dan Calon Boleh Menang

Persediaan kita bukan sahaja bagi mencapai kemenangan, lebih penting lagi kemampuan mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia. 

Di sini peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘Boleh Menang’, ‘Boleh Diterima’, dan ‘Boleh Mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri. 

Manakala kalangan yang berwibawa dan profesional dalam PAS tidak akan tercicir dan terus menyumbang dalam konsep Kerajaan Teknokrat yang tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja. 

PAS juga akan meningkatkan jumlah calon daripada anak muda dan wanita untuk bertanding dengan kerusi boleh menang bagi menarik sokongan anak muda dan wanita sebagai undi penentu dalam PRU-15.

6. Mengekang Usaha Menggugat Kedudukan Islam

Akhir-akhir ini terdapat dalam kalangan yang bernama Islam merobekkan Islam secara terbuka, sehingga merendah-rendahkan kedudukan Islam yang sebenar.

Para ulama di Malaysia juga jangan sibuk “mengangkat pasir menjadi kubah” (قبة حبة جعل , )dengan mengangkat perkara kecil menjadi besar yang akhirnya hanya menghabiskan masa semata-mata.

Maka saya menasihatkan agar ulama memberikan tumpuan kepada perkara yang jauh lebih mustahak, kritikal dan utama seperti bahaya serangan pemikiran yang merosakkan jati 

diri seorang muslim, Islam liberal dan Islam Plural, Ideologi Pragmatism yang menjadikan sebahagian orang Islam hilang identiti beragama, pecah amanah, rasuah dan khianat, serta 

kejahilan ummah terhadap Islam dan cara mengatasinya.\

7. Memperkasa Aspek Penerangan Secara Berkesan Dan Optimum

Jentera Penerangan di setiap peringkat mesti mempunyai kepakaran tertentu dan bergerak secara aktif dan agresif bukan defensif dalam menyebarkan maklumat parti, menjawab dan menyerang dengan pantas dan tepat serta tidak terikut-ikut dengan permainan pihak lawan.

Bahan penerangan yang disebarkan mestilah sesuai dengan latarbelakang pengundi pelbagai umur, jantina, bangsa, agama, pendidikan, luar bandar, pinggir bandar atau bandar supaya maklumat yang disampaikan difahami dengan mudah. 

Setiap ahli juga berperanan memperkasakan Akhbar Harakah termasuklah langganan e-Harakah dengan membeli, membaca dan memberikan kepada pengundi khususnya di luar bandar yang kurang melayari internet dan media sosial.


Ulasan