PAS Lancar Kempen 'Jom Balik Mengundi'

 


KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu ambil inisatif lancarkan kempen 'Jom Balik Mengundi' kepada semua para belia dan mahasiswa yang berada di perantauan untuk pulang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, 19 November nanti.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif PAS ini menunjukkan betapa  cakna parti tersebut terhadap  keperluan dan denyut nadi rakyat.

“Program yang cukup bermakna buat perantau pasti akan meringankan beban pulang untuk mengundi kelak.

“Inilah sebahagian daripada kempen kita bagi menyuburkan kesedaran demokrasi rakyat Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata demikian dalam sidang Media Pelancaran Kempen Jom Balik Mengundi dan Jom Keluar Mengundi Tanggungjawab bersama 'Rakan2022'  di Tingkat 5, Wisma Darul Iman, semalam 


Katanya, PAS sentiasa cakna beri sokongan kepada rakyat Terengganu yang berada di perantauan menyatakan pandangan dalam sistem demokrasi Malaysia melalui PRU 15.

“PRU ke 15 merupakan satu tanggungjawab bersama bagi merelasasikan kempen ini. Ada dua objektif iaitu menerapkan kesedaran untuk tanggungjawab mengundi di kalangan rakyat Terengganu khususnya belia dan mahasiswa serta meringankan bebanan kepada semua rakyat Terengganu yang berada di perantauan untuk pulang sempena PRU.

“Melalui program ini rakyat Terengganu yang berada diperantauan akan dibawa balik dengan kemudahan pengangkutan yang disediakan.

“Program ini adalah satu isyarat  kepada rakyat Terengganu kerajaan yang sedia ada memberi komitmen yang tinggi bagi membantu semua warga perantau yang layak untuk pulang mengundi,” katanya.

Wan Sukairi menambah,  Setiap DUN dan kawasan parlimen  akan mengadakan promosi berkenaan kempen ini termasuk NGO Perantau turut membantu melaksanakan promosi dan kempen meneruskan proses untuk membawa pulang semua perantau.

“Program ini disasarkan kepada seluruh rakyat Terengganu termasuk belia dan mahasiswa layak mengundi yang berada di seluruh negara.

“Kemudahan yang diberikan adalah bentuk  pengangkutan  bas daripada seluruh negeri  yang berada di semenanjung. 

“Adapun pengundi yang berada di Sabah dan Sarawak, maka kita akan menyediakan bas di KLIA ke Terengganu ataupun Lapangan Terbang Ismail Petra, Pengkalan  Chepa untuk balik ke Terengganu,” tambah beliau.

Ulasan