Kabinet Anwar Pelik, PAS Terkejut


 Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU - PAS merasa pelik dengan senarai kabinet Anuar Ibrahim kerana individu dilantik tidak memenuhi laungan slogan reformasi politik dan pembaharuan pentadbiran yang diperlukan oleh rakyat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, umumnya warga negara ketika ini berhajat kepada barisan kepimpinan yang telus dan berwibawa.

“Di saat rakyat Malaysia memerlukan sebuah pembaharuan politik dan pentadbiran kerajaan tahap paling baik tetapi nampaknya kita berundur ke belakang dengan posisi kabinet yang ada.

“Saya pun tak tahu kabinet itu dipanggil kabinet apa tapi tentunya bukan kerajaan perpaduan kerana syarat kerajaan perpaduan itu, semua parti bersama dalam pembentukan kerajaan sebagaimana yang dilakukan di Afrika Selatan dan di United Kingdom suatu masa dahulu.

“Jadi tentunya kerajaan ini bukan kerajaan perpaduan tetapi kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Kesyukuran Kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 Parlimen Kuala Terengganu , di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, ramai yang menzahirkan rasa kecewa kerana anggota kabinet dilantik dalam kalangan bukan kalangan ahli yang bersih tetapi ‘kluster 47 kes mahkamah’


“Saya rasa pertimbangan mereka dalam menentukan kabinet ini bukan melihat perkara yang sebegitu sebagaimana dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN).

“Mereka  lebih melihat untuk menjaga posisi masing-masing tanpa mempertimbangkan keperluan dan ada wakil-wakil daripada negeri-negeri ini menyebabkan kita lihat orang yang kalah dalam pilihan raya.

“Tapi oleh kerana hubungan yang rapat dengan  kepimpinan, mereka terpaksa lagi dilantik memegang jawatan yang sangat penting,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap pemerintahan baharu antara gabungan beberapa parti dapat bertahan lama bukan seperti 22 bulan dahulu.

 “Jadi tengoklah berapa lama boleh bertahan kerajaan dibentuk dalam keadaan yang begitu rapuh ini.

“Saya percaya rakyat dahagakan perubahan yang lebih bersifat kekal berbanding dengan perubahan seperti ini,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan PAS sentiasa berjuang mempertahankan hak yang sewajarnya diperolehi rakyat dan negeri Terengganu.

“Kita mengambil sikap menghormati apa yang telah dinyatakan dalam perlembagaan dan telah membuat pembahagian kuasa diantara kerajaan negeri dan pusat pada senarai bersama.

"Dan kalau semua pihak memahami konsep ini insya-Allah saya percaya tidak ada kesan yang besar kepada negeri Terengganu kita.

“Sudah tentu saya percaya apa yang telah  termaktub dan di terima dalam  harus bergerak seperti mana keputusan lalu. Itu kita akan terus perjuangkan,” tambah Samsuri lagi.

Ulasan