Timbalan Presiden Umno 'Tidak Masuk Akal'


KUALA TERENGGANU - Kenyataan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan, bahawa PAS ingin membunuh UMNO dalam politik negara ini dan pada masa yang sama menganggap DAP ikhlas terhadap Umno adalah sesuatu yang 'tidak masuk akal' dan dibuat dalam keterpaksaan.

Hakikatnya, Setiausaha Agung PAS Datuk Sri Takiyuddin Hassan berkata, rakaman sejarah politik negara ini menunjukkan Umno terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan PAS, termasuk percubaan untuk mengharamkan parti itu pada suatu ketika dahulu.

"sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasarnya, PAS sentiasa berazam dan bertindak mendekati Umno dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti rakyat negara ini.

"Usaha Penyatuan Ummah juga seterusnya digagaskan merentasi rakyat pelbagai kaum dan agama bagi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni melalui saluran demokrasi dan berlandaskan lunas undang-undang." jelasnya dalam satu kenyataan semalam. 

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, sebagai sebuah parti arus perdana, PAS akan terus bersikap terbuka serta bersedia mengadakan pertemuan. 

"PAS sedia berunding dengan mana-mana pihak dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.

"PAS amat yakin hanya dengan perpaduan semua parti-parti politik yang terbentuk di atas keikhlasan dan niat murni sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh semua." tegasnya. 

Dalam pada itu, kata beliau, PAS juga sentiasa menjunjung tinggi amalan serta pendekatan yang matang dan sejahtera dalam politik negara. 

"kita mendoakan agar sikap melulu, provokatif dan tidak berpijak pada kenyataan atas apa juga sebab dan tujuannya tidak akan menggugat serta merosakkan kesejahteraan dan hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita." tegasnya lagi. 

 

 

Ulasan