Guru PASTI As-Salam Dinobatkan Dua Anugerah


MARANG- Guru PASTI As-Salam, Padang Midin, Cikgu Nora Abdul Jalil, 55 telah berjaya mengharumkan PASTI Terengganu apabila dinobatkan sebagai penerima dua anugerah PASTI Malaysia 2023 sekaligus.

Beliau yang telah berkhidmat selama 28 tahun  menerima Anugerah Tokoh Guru dan juga Anugerah Guru Cemerlang PASTI Malaysia 2023 memulakan khidmatnya sebagai pembantu guru. 

"Masa mula-mula jadi pembantu dulu saya tinggal di Kubang Panjang, memang masalah untuk berulang alik setiap hari ke Padang Midin, Alhamdulillah pengurusan PASTI telah memberi sebuah motosikal untuk digunakan sepanjang tempoh saya berkhidmat pada masa itu." katanya yang pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pasti Terengganu 2011. 

Cikgu Nora yang  dihubungi semalam di rumahnya tidak menyangka menerima dua  anugerah  di majlis Himpunan Pendidik Kebangsaan dan Sambutan Hari Guru 2023 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 27 Mei lalu. 


Beliau yang juga Ketua Unit Kurikulum PASTI Negeri Terengganu. "sebagai guru PASTI sudah tentu  banyak pengorbanan yang mesti dilakukan dan bukan mengharapkan gaji semata-mata tetapi mendapat keredhaan dari Allah SWT. "

"RM80 merupakan elaun saya yang pertama  berkhidmat di Pasti As-salam, dengan kadar yuran RM10 sahaja, namun begitu ia tidak melemahkan semangat untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak didik Pasti. 

" Alhamdulillah, PASTI As-Salam yang dahulunya bermula dengan satu kelas sahaja kini berjaya menambah bilangan kelas sehingga sembilan buah kelas dengan kapasiti pelajar 167 orang, tiga kelas enam tahun, empat kelas lima tahun, dua kelas empat tahun." 

"Sempena anugerah ini saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Beliau sentiasa meredhai  kerja saya di dalam Pasti mahupun di Parti. Selain itu, ahli keluarga, guru-guru dan sahabat handal yang banyak mendorong saya kearah kejayaan saya pada hari ini." 

"Alhamdulliah, kini saya sungguh berbangga kerana dapat melihat sebuah lagi bangunan Pasti As-Salam yang sedang dibangunkan dan bakal digunakan penghujung tahun ini," katanya lagi.

Ulasan