PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1444 H


Seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha bukan sahaja bersempena ibadat haji yang menjadi salah satu rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu, bahkan juga bagi memperingati sunnah Nabi Ibrahim AS yang disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad SAW.

Ibadat haji ialah himpunan terbesar umat Islam yang datang dari seluruh pelosok dunia di tanah suci Makkah. Ibadat haji ini juga diwajibkan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan sebagai menyahut seruan Ilahi.

Hari raya ini, kita menyembelih binatang ternakan dan melakukan ibadat korban yang tidak sama dengan sembelihan pemujaan syaitan yang diamalkan oleh penganut agama lain. Kita menyembelih kerana Allah dan melaksanakan kebajikan sesama kita juga dengan perintah Allah.

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ (37)

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu.Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah al-Hajj: 37)

Allah memerintahkan kita umat Nabi Muhammad SAW supaya mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim AS untuk menjadi seorang Islam, yakni orang yang berserah diri secara benar-benar ikhlas dan bulat kepada Allah, bukan sekadar melakukan ibadat haji dan korban bagi mereka yang berkemampuan.

Allah SWT menegaskan bahawa Islam sahaja agama Allah, bukan agama dan ajaran yang lain, termasuk ideologi yang diciptakan oleh akal manusia.

Marilah kita menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk berhadapan dengan ujian dan musibah yang melanda hari ini. Demikian juga, kita hendaklah menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan soal perpaduan yang menjadi teras kekuatan umat Islam.

Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana jua kalian berada. Mudah-mudahan, Allah SWT senantiasa memberkati kita semua.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

 

“Malaysia Sejahtera”

تقبل الله منا ومنكم، كل عام وأنتم بخير.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Ulasan