Sekularisme Dan 'Malaysian Malaysia' Wajib Ditolak


Dua konsep perjuangan DAP yang wajib diketahui oleh semua pihak ialah sekularisme ekstrem dan ‘Malaysian Malaysia’. Kedua-duanya menjadi konsep yang tetap mempengaruhi kerajaan PH yang bercampur dan didominasi oleh DAP kerana mereka merupakan parti paling besar jumlahnya dicampurkan dengan golongan bukan Islam yang ekstrem dan kelompok Islam liberal dalam PKR. Umat Islam wajib menentang kedua-dua konsep yang salah ini.


Sekularisme ialah suatu konsep atau ideologi pemisahan antara agama dengan institusi atau badan negara. Dalam istilah politik, sekularisme ialah pergerakan yang menuju pemisahan antara agama dengan pemerintahan. Fahaman tersebut cuba memansuhkan atau mengurangkan keterikatan antara pemerintahan dengan agama negara, seterusnya menggantikan hukum keagamaan dengan hukum sivil, dan menghilangkan pembezaan yang dianggapnya tidak adil dengan dasar agama.

 

Hal ini dikatakan menunjang demokrasi rakyat berkuasa dengan melindungi hak-hak kalangan beragama yang minoriti. Pada masa yang sama, menganggap agama Allah SWT itu tidak adil yang merupakan suatu anggapan yang salah terhadap Allah yang Maha Suci daripada segala sifat kelemahan dan kekurangan. Perkara ini berkonsepkan slogan demokrasi purba:

 

“Vox populi, vox dei.”

 

“Suara rakyat suara Tuhan atau suara rakyat suara keramat.”

 

Itulah gambaran bagaimana suara makhluk yang lemah mengatasi firman Allah yang Maha Berkuasa.

 

Sekularisme sering kali dikaitkan dengan Era Pencerahan (The Age of Enlightenment) yang berlaku di Eropah, dan memainkan peranan utama dalam peradaban Barat. Prinsip utama fahaman tersebut ialah pemisahan antara gereja dengan negara, agama dengan sains di negara Barat dengan berlakunya Revolusi Perindustrian.

 

Kebanyakan agama menerima hukum-hukum utama daripada masyarakat yang demokratik. Negara-negara yang umumnya dikenali sebagai negara sekular, contohnya seperti Kanada, India, Perancis dan Korea Selatan, walaupun tiada dari negara ini yang bentuk pemerintahannya menyamai dengan yang lainnya.

 

Kini, terserlah kesan yang sangat negatif apabila politik kehilangan moralnya kerana telah hilang rohnya apabila tidak beraqidah. Masyarakat Barat yang demokratik menjadi tidak beragama sehingga meruntuhkan jati diri kemanusiaan dan menyebabkan kemusnahan institusi keluarga. Bahkan, mengakibatkan hilangnya sifat kemanusiaan dan hubungan bermasyarakat sehingga meningkatnya maksiat dan jenayah yang melampau sebagaimana yang dilaporkan oleh media secara terbuka, sehingga kanak-kanak sekolah yang tidak berdosa turut menjadi mangsa.

 

Negara Turkiye yang menjadi kuasa besar dunia bersama Islam bertukar menjadi negara bangsat, setelah Kamal Ataturk melaksanakan dasar sekularisme kononnya untuk mengambil teladan Eropah yang maju.

 

Islam menegaskan bahawa urusan pentadbiran negara merupakan salah satu kewajipan agama yang ditetapkan oleh Allah SWT sejak perisytiharan-Nya untuk menciptakan manusia. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

 

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’. Mereka bertanya: ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya’.” (Surah al-Baqarah: 30)

 

Malah, soal pentadbiran ini menjadi ketetapan Allah SWT kepada para rasul AS, melalui firman-Nya:

 

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾

 

“Manusia itu adalah daripada umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan itu. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana kedengkian antara mereka sendiri. Maka, Allah memberikan petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberikan petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 213)

 

Ayat di atas ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya:

 

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

 

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, para nabi menjadi pemimpin politik mereka. Setiap nabi yang diwafatkan, akan digantikan selepasnya nabi yang lain. Tiada lagi nabi selepasku (Muhammad SAW), namun akan ada para khalifah (pemimpin). Jumlah mereka itu sangatlah ramai.”

 

قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

 

Para sahabat bertanya: “Apakah pesanan kamu (wahai Rasulullah) kepada kami?”

 

قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

 

Sabdanya: “Tunaikanlah janji setia kepada yang dahulu dan berikutnya, tunaikanlah hak yang mesti kalian tunaikan terhadap mereka dan sesungguhnya Allah akan bertanya (menghisab) mereka tentang apa yang telah diwajibkan ke atas mereka.” (Riwayat al-Bukhari, No. 3455 dan Muslim, No. 1842)

 

Kita telah meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, maka makna Islam itu hendaklah ditafsirkan mengikut bahasa al-Quran dengan kesempurnaan maknanya. Maka, pentafsiran secara sekular adalah suatu perkara yang salah dan sesat yang dahulunya telah dibawa oleh penjajah dan kitab Injil yang telah diubah kandungannya.

 

“Then give to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” (Luke 20:25)

 

“Berikan milik Kaisar itu kepada Kaisar; dan milik Allah itu kepada Allah.” (Luke 20:25)

 

Allah SWT mendedahkan kesesatan yang berlaku itu melalui firman-Nya:

 

﴿وَإِذۡ قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٖ يَأۡتِي مِنۢ بَعۡدِي ٱسۡمُهُۥٓ أَحۡمَدُۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِ قَالُواْ هَٰذَا سِحۡرٞ مُّبِينٞ٦ وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُوَ يُدۡعَىٰٓ إِلَى ٱلۡإِسۡلَٰمِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ٧﴾

 

“Dan (ingatlah) ketika ‘Isa ibn Maryam berkata, ‘Wahai Bani Isra’il! Sesungguhnya, aku ialah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (kedatangan) seorang rasul yang akan datang sesudahku bernama Ahmad (Muhammad).’ Maka, tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, ‘Ini adalah sihir yang nyata.’ (6) Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia telah diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim. (7)” (Surah al-Saff: 6-7)

 

Nabi ‘Isa AS diperintahkan menjadi Rasul kepada Bani Isra’il supaya beramal dengan kitab Taurat bersama Injil, termasuklah menjanjikan kedatangan Nabi Muhammad SAW untuk meneruskan Islam yang sempurna bukan agama yang dirosakkan dan disesatkan.

 

Beberapa orang tokoh undang-undang telah memberikan pelbagai pandangan supaya dimerdekakan Perlembagaan Persekutuan daripada pengaruh penjajah yang sesat itu. Antaranya ialah Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim, Almarhum Tun Salleh Abbas, Tun Hamid, Tun Fairuz dan lain-lain tokoh. Mereka berpandangan supaya perkataan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan agama dalam bahasa yang lain daripada al-Quran.

 

DAP telah menunjukkan penentangan sejak awal lagi sebarang perubahan kepada Islam dan terus mempertahankan pegangan sekularisme yang dianutinya sebagaimana yang ditegaskan dalam undang-undang tubuh partinya. Tegasnya perjuangan mereka adalah meneruskan agenda penjajah. Pakatan Harapan telah didominasi oleh DAP yang tidak pernah berganjak dalam mempertahankan sekularisme yang salah itu dalam perlembagaannya.

 

Adapun PKR sebuah parti yang berkonsepkan liberal pragmatik sekular kerana partinya menerima siapa sahaja untuk bersamanya, dan parti yang lain laksana melukut di tepi gantang sahaja.

 

Maka, negara dan rakyat berada dalam keadaan yang lebih hanyut daripada pemerintahan BN dahulu yang berteraskan UMNO. Kini, UMNO pula telah dialih hala tuju perjuangannya bersama DAP dan PH kerana ingin menyelamatkan diri, mengejar jawatan, serta kalangan yang memburu harta dan takhta.

 

Hanya kerana kejahilan sahaja satu-satunya sebab yang dapat menyelamatkan seseorang dengan keampunan Allah SWT terhadap mereka yang jahil dan masih ada kecintaan kepada Allah, Rasul serta umat Islam dan kebenciannya kepada kekufuran. Sabda Rasulullah SAW:

 

‌ثَلَاثٌ ‌مَنْ ‌كُنَّ ‌فِيهِ، ‌وَجَدَ ‌بِهِنَّ ‌حَلَاوَةَ ‌الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

 

“Tiga perkara, jika sesiapa yang ada pada dirinya, nescaya menandakan dirinya masih ada kemanisan iman. Allah dan Rasul paling dikasihinya daripada yang lain, kasih kepada seseorang dengan ikhlas kerana Allah dan benci terhadap kekufuran setelah Allah menyelamatkannya laksana bencinya kalau dicampak ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim, No. 43, Ahmad, No. 12002 dan lain-lain)

 

Kewajipan kita ialah menyelamatkan umat yang tenggelam dalam kejahilan. Tugas ini menjadi peranan para ulama’ yang bertafaqquh dalam urusan agama mengikut firman Allah SWT:

 

﴿وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ١٢٢﴾

 

“Dan tidaklah semestinya bagi orang yang beriman itu keluar semuanya berjuang, maka hendaklah ada sebahagian daripada mereka keluar menuntut ilmu supaya bertafaqquh (memahami) dalam urusan agama, supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaum mereka apabila kembali ke tempat masing-masing, mudah-mudahan kaum mereka berwaspada (terhadap penyelewengan yang berlaku)” (Surah al-Tawbah: 122)

 

Setiap zaman yang berubah akan ada penyelewengan yang sentiasa berlainan, maka kini muncul teori sekularisme yang terpesong daripada agama sehingga mencipta berbagai-bagai ideologi yang bukan daripada Islam yang menjadi agama para rasul AS.

 

Adapun konsep ‘Malaysian Malaysia’ pula ramai dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera sekarang masih keliru dan kabur mengenainya, lebih-lebih lagi para pemuda kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, perlu dimaklumkan sedikit informasi mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang konsep ini!


Secara ringkasnya, slogan ‘Malaysian Malaysia’ mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Convention yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai hak keistimewaan kepada orang Melayu dan bumiputera.

 

Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan kerakyatan juga berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu adalah sama taraf dengan orang Melayu dan bumiputera. Dalam lain perkataan, semua bangsa, bahasa, agama dan budaya adalah sama.


Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan beberapa hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera. Antaranya seperti Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, melindungi institusi Melayu, kuota pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam, kuota biasiswa untuk pendidikan, lesen perniagaan dan lain-lain.


Semua perkara ini ditetapkan bagi menyusun semula ketempangan dasar British yang menjajah Malaya dari tahun 1824 hingga 1957 dengan menindas dan menzalimi Melayu Islam yang telah menentang penjajah sejak awal. Sejak mula datangnya penjajah Portugis pada tahun 1511 dan berikutnya sebelum kedatangan warga asing yang dimasukkan oleh British.

 

Penjajah itu membawa masuk para pendatang asing seperti orang Cina dan India, lalu diberikan kedudukan sehingga bertapak dengan kukuh serta mencabar kedudukan kaum Melayu dan bumiputera.


Selepas Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, konsep ‘Malaysian Malaysia’ terus diperjuangkan oleh DAP, parti serpihan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura sehingga sekarang. Itulah sebabnya orang Melayu dan bumiputera sekarang secara terus-menerus menolak konsep ini yang bakal melenyapkan ketuanan Melayu Islam, hak keistimewaan dan kelebihan mereka di bumi asal mereka.


Konsep ini tidak boleh diterima pakai oleh orang Melayu dan bumiputera sampai bila-bila. Sebarang tindakan menerima konsep ini ibarat merelakan diri mereka untuk menjadi seperti kelompok Red Indian di Amerika Utara, Maori di New Zealand dan Bush People di Australia. Mereka telah dianaktirikan!


Orang Melayu dan bumiputera ialah keturunan Nusantara (The Malay Archipelago), bangsa asal Gugusan Kepulauan Melayu. Orang Melayu dan bumiputera tidak akan sekali-kali menerima pakai konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh DAP!

 

Apabila Melayu menganut Islam dan menegakkan kedaulatannya sehingga dirampas oleh penjajah, lalu mereka menunaikan kewajipan mempertahankan bangsa bersama Islamnya.

 

Sehingga sekarang, DAP tidak pernah melupuskan konsep berkenaan. Malah, telah menjadikan ia sebagai suatu perjuangan utama mereka sehingga hari ini.

 

Umat Islam wajib menentang konsep yang salah dan zalim ini. Bukan bermakna umat Islam itu fanatik perkauman atau rasis, namun ini adalah hak yang wajib dipertahankan. Sebarang langkah untuk melaksanakan konsep yang salah dan zalim ini adalah suatu pengkhianatan yang sangat besar terhadap agama, umat Islam dan tanah airnya.

 

Konsep Islam adil kepada semua telah mencukupi terhadap kaum bukan Islam yang diizinkan menjadi rakyat di negara ini, bukan dengan cara menyingkirkan umat Islam yang telah berada dalam tanah airnya.

 

Islam menerima adanya berbagai-bagai bangsa dalam masyarakat majmuk yang berkonsepkan firman Allah SWT:

 

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan; kemudian Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan pelbagai suku agar kamu saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

 

Adanya berbagai-bagai bangsa adalah ciptaan Allah SWT yang tidak boleh dicabar, sekali gus mengandungi hikmah kebaikan kepada seluruh manusia. Sifat taqwa juga mewajibkan kepimpinan Islam yang menegakkan keadilan kepada semua.

 

Firman Allah SWT:

 

﴿وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا١٤١﴾

 

“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah al-Nisa’: 141)

 

Cukuplah firman Allah SWT yang memberikan peringatan:

 

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾

 

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan kawanmu kalangan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

 

Kini, kita menghadapi UMNO yang telah meninggalkan dasar perjuangan asalnya apabila sanggup bersekongkol bersama DAP dalam PH, kerana ingin menyelamatkan diri masing-masing setelah kalah dalam PRU-15 dan mengejar jawatan dalam kerajaan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaannya.

 

Ingatlah amaran Allah SWT terhadap mereka yang salah mengundi dalam memilih pemimpin:

 

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

 

“(Ingatlah) pada hari (ketika) Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membaca kitabnya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amalnya yang baik) walau sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dirinya juga buta di akhirat, bahkan lebih sesat lagi dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

 

Maka, jangan salah mengundi dengan memilih parti dan pemimpin yang salah. Jangan tidak keluar mengundi kerana berlepas tangan. Kita sedang menghadapi kemungkaran yang besar iaitu sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’. Rasulullah SAW memberikan suatu amaran yang keras melalui sabdanya:

 

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ، فَلَيَسُومُنَّكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ، ثُمَّ يَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلا يُسْتَجَابُ لَهُمْ.

 

“Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik  dan mencegah kemungkaran atau (kalau kamu meninggalkannya), nescaya Allah akan menjadikan orang-orang yang jahat berkuasa memerintah kamu, lalu kamu ditimpa azab yang seburuk-buruknya. Kemudian, orang-orang yang baik dalam kalangan kamu berdoa, maka Allah tidak memperkenankan doanya.” (Riwayat al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, Hlm. 254 dan diriwayatkan juga oleh al-Tirmizi, no. 2169 dengan lafaz yang sedikit berbeza)

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 30 Zulqa‘dah 1444 / 19 Jun 2023

 

[Bil: 50 / 2023]

Ulasan